Kren tumbang di Damansara Perdana, tersangkut di tingkat 4 bangunan

Harits Asyraf Hasnan
Disember 5, 2016 08:00 MYT
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian kren yang tumbang dan tersangkut di tingkat 4. - Foto JBPM
Sebuah kren dilaporkan tumbang di tapak pembinaan berdekatan Damansara Perdana di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul yang mengesahkan perkara tersebut berkata bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.10 petang.
Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kren tersebut tersangkut di tingkat empat bangunan.
Tiada mangsa cedera mahupun maut dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) tiba di lokasi tapak kren tumbang dekat Damansara Perdana kira-kira pukul 4.50 petang tadi.
Pihak media difahamkan Penguatkuasa CIDB akan mengambil keterangan daripada kakitangan tapak pembinaan serta pemilik bangunan.
Sehingga pukul 5.45 petang, kren tumbang yang tersangkut di tingkat 4 itu masih belum diturunkan.
Usaha membawa turun kren tersebut sedang giat dijalankan pada ketika ini.
Bangunan yang siap hampir 60 peratus itu bakal menempatkan pusat beli-belah serta 18 tingkat unit pejabat.
#Damansara #kren tumbang #tapak pembinaan #tersangkut tingkat empat