MALAYSIA
Krisis Kemboja-Thailand: Malaysia sedia main peranan, tegaskan komitmen ASEAN - PM Anwar

Anwar telah menyampaikan mesej kepada pemimpin kedua-dua negara dan berharap dapat bercakap dengan mereka dalam masa terdekat. - Bernama
PETALING JAYA: Malaysia menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan sebagai pengantara dalam ketegangan yang semakin meningkat antara Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menyampaikan mesej kepada kedua-dua pemimpin negara tersebut dan berharap dapat bercakap secara langsung dengan mereka dalam masa terdekat.
“Saya berharap petang atau malam ini saya dapat bercakap dengan kedua-dua pemimpin berkenaan. Mereka adalah anggota ASEAN yang penting dan sangat dekat dengan Malaysia. Saya telah menyampaikan mesej kepada kedua-dua Perdana Menteri dan berharap dapat bercakap dengan kedua-dua mereka petang atau malam ini.
“Perkembangan ketika ini membimbangkan. Kita harap mereka berbincang. Saya tahu mereka telah melakukannya (berbincang) tetapi pada hemat saya, inilah satu-satunya pilihan yang ada, untuk berdialog dan mencari penyelesaian bersama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ASEAN Semiconductor Summit 2025, pada Khamis.Ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengeluarkan sebarang amaran kepada kedua-dua negara, Perdana Menteri menolak pendekatan itu dan menegaskan keutamaan adalah pada komunikasi dan diplomasi.
“Tidak, kita akan berkomunikasi dan menjelaskan pendirian kita kepada kedua-dua pemimpin. Terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," katanya lagi.
Menurut beliau, kedua-dua pihak mempunyai kepentingan nasional masing-masing namun pastinya berkongsi hasrat yang sama untuk menyelesaikan konflik secara aman.
Ketegangan sempadan di antara Thailand dan Kemboja meningkat ke tahap kritikal apabila tentera Thailand mengesahkan penggunaan jet pejuang F-16 untuk menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, susulan insiden tembak-menembak berhampiran Kuil Ta Moan Thom pada pagi Khamis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami