KUALA LUMPUR:Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya mencari punca dan menjelaskan episod terbaharu pencemaran Sungai Selangor.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata kekecewaan dan kemarahan penduduk Lembah Klang amat difahami memandangkan terputusnya bekalan air berulang kembali berpunca daripada pembuangan haram sisa kumbahan yang menjejaskan kehidupan berjuta rakyat.

"Penutupan bekalan air kelmarin disumbang oleh pembuangan haram sisa buangan ke dalam lurang Indah Water Konsortium (IWK) yang mencemarkan Sungai Selangor.

"Jelas pihak berkuasa tidak mampu untuk mencari punca sebenar kepada masalah ini iaitu mencegah pembuangan haram sisa dan efluen ke dalam sungai kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, meskipun pengumuman penubuhan Unit Jenayah Alam Sekitar (ECU) dibuat oleh Menteri KASA Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, rakyat harus tahu mengenai tindakan yang telah dilakukan.

"Orang ramai perlu mengetahui jika ECU telah diaktifkan serta langkah yang sedang diambil dan bagaimana pihak berkuasa Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi mencegah pembuangan haram seperti itu daripada berlaku lagi," katanya.

Dalam insiden terkini, empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor pada Selasa yang mengakibatkan bekalan air di sebahagian besar kawasan Lembah Klang terputus.

-- BERNAMA