MALAYSIA

Krisis politik Perlis: Istilah ‘terhenti’ v 'dipecat' cetus polemik, tetapi Speaker adalah penentu - Pakar Perlembagaan

Firdaus Azil 25/12/2025 | 11:14 MYT
Speaker DUN Perlis mengumumkan kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi selepas PAS menafsir keahlian ADUN sebagai ‘terhenti’. Isu ini mencetuskan perdebatan undang-undang antara tafsiran parti dan klausa dalam Warta Perlis. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Biarpun terdapat tafsiran yang berbeza tentang peruntukan mengenai status seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, khususnya mengenai takrifan ‘terhenti’ atau ‘dipecat', namun kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri adalah penentu utama sebelum mahkamah membuat keputusan.


Ringkasan AI
  • Kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis adalah penentu utama dalam menentukan status ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, walaupun terdapat tafsiran yang berbeza mengenai takrifan 'terhenti' atau 'dipecat'.
  • Tindakan Speaker untuk mengaktifkan Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-undang Tubuh Negeri Perlis ditegaskan oleh Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, walaupun tafsiran undang-undang masih kabur dan keputusan mahkamah belum diumumkan.
  • Pindaan Warta Kerajaan Perlis 2022 menyatakan peruntukan khusus bagi status ADUN yang terhenti daripada parti politik, tetapi Fasal 50A(2)(c) mengecualikan pemecatan daripada menyebabkan kekosongan kerusi, menyebabkan kontroversi dalam isu ini.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan, walaupun tafsiran undang-undang masih kabur, tindakan Speaker untuk mengaktifkan Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-undang Tubuh Negeri Perlis akan menjadi operatif di lapangan.

“Jadi kita lihat bahawa peruntukan khususnya ialah, kalau terhenti keahliannya, maka ia berbeza dengan peraturan dipecat. Ini salah satu yang menarik dan saya belum lihat lagi satu bentuk tafsiran jelas dari mahkamah.

“Tapi memang benar, mahkamah boleh guna tafsiran specialized override general (ex specialis derogat legi generali), itu boleh dipakai. Tapi sejak ia belum sampai ke mahkamah, apa yang diumumkan oleh Speaker, itu adalah apa yang akan dilaksanakan,” jelas beliau lagi.

Menurut pindaan Warta Kerajaan Perlis 2022, Perkara 50A(1)(a)(ii) menyatakan: “Seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong… jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.”

Namun, Fasal 50A(2)(c) menetapkan pengecualian: “Seseorang ahli Dewan Negeri tidak terhenti menjadi ahli Dewan Negeri menurut perkara ini hanya disebabkan oleh pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.”

Awal hari ini, Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu dari Pas terhenti serta-merta.

Sehubungan itu, Rus'sele berkata, beliau akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Pada Rabu, media melaporkan tiga ADUN di Perlis dari Pas terhenti keahlian mereka sebagai parti itu serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan sebagai berkata, ketiga-tiga mereka yang terhenti keahlian parti itu ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Dalam pada itu, pemerhati politik melihat Pas menggunakan istilah “terhenti keahlian” bagi tiga ADUN yang menarik sokongan, bukan “dipecat”, sebagai strategi mengelak daripada klausa pengecualian Fasal 50A(2)(c) yang menyatakan pemecatan tidak menyebabkan kerusi kosong.

Bagaimana pun Nik Ahmad Kamal menegaskan, persoalan sama ada ‘terhenti’ atau ‘hilang keahlian’ sama dengan ‘dipecat’ hanya boleh ditafsirkan dalam mahkamah.

Dalam pada itu beliau mengakui, ketiga-tiga ADUN berkenaan mempunyai ‘locus standi’ untuk membawa tindakan parti Pas itu ke mahkamah, bagi menentukan tentang status keahlian mereka.

Beliau turut mengingatkan bahawa undang-undang anti-lompat diperkenalkan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan, bukan melindungi kepentingan individu wakil rakyat.

Nik Ahmad Kamal berkata, semangat di sebalik kewujudan undang-undang berkaitan Adalah bagi mengutamakan kepentingan supaya kerajaan dapat berjalan tanpa diganggu episod lompat parti.

“Jadi sebab itulah, kalaulah ia menyebabkan rosaknya ataupun runtuhnya sebuah dunia yang telah ditubuhkan selepas Pilihan Raya ataupun Parlimen, maka ia tidak mengambil kira kepentingan peribadi seorang ahli DUN ataupun seorang ahli Parlimen.

“Ia mengutamakan kepentingan supaya kerajaan itu dapat berjalan dan tidak diganggu-gugat oleh masalah- masalah seperti ini. Itulah pandangan saya. Tapi pada masa yang sama, kita tidak boleh mengatakan setiap ahli DUN atau ahli Parlimen itu mempunyai tidak mempunyai hak mereka sendiri.

“Tetapi dalam konteks sebuah kerajaan yang perlu dijalankan, supaya terus dilaksanakan, sementara kita menunggu pilihan raya yang akan datang, kita harap ia tidak mengganggu Parlimen atau DUN,” katanya lagi.

Justeru, beliau mencadangkan pindaan lanjut bagi menutup “kelompongan istilah” agar tidak menjejaskan perjalanan kerajaan. “Perlu ada pindaan supaya istilah seperti ‘hilang keahlian’ atau ‘dipecat’ tidak menimbulkan kekeliruan," tambahnya.


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah perbezaan antara "terhenti" dan "dipecat" dalam konteks keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis?
    A: "Terhenti" dan "dipecat" mempunyai perbezaan dalam keahlian ADUN Perlis, di mana penentuan status tersebut bergantung kepada kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri sebelum keputusan mahkamah dibuat.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis berhubung kekosongan kerusi ADUN Chuping, Bintong, dan Guar Sanji?
    A: Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis mengumumkan kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN tersebut selepas keahlian tiga ADUN kawasan tersebut dari PAS terhenti serta-merta.
  • Q: Mengapa PAS menggunakan istilah "terhenti keahlian" daripada "dipecat" bagi tiga ADUN yang tidak lagi menyokong parti tersebut?
    A: PAS menggunakan istilah "terhenti keahlian" bagi tiga ADUN yang tidak lagi menyokong parti itu sebagai strategi untuk mengelak dari klausa pengecualian Fasal 50A(2)(c) yang menyatakan pemecatan tidak menyebabkan kerusi kosong.
  • Q: Apakah pandangan pemerhati politik berkenaan penggunaan istilah "terhenti keahlian" oleh PAS untuk tiga ADUN tersebut?
    A: Pemerhati politik melihat penggunaan istilah "terhenti keahlian" sebagai strategi PAS untuk mengelak daripada klausa pengecualian yang menyatakan pemecatan tidak menyebabkan kerusi kosong.
  • Q: Mengapa ahli politik mencadangkan pindaan lanjut bagi mengelakkan kekeliruan istilah dalam urusan keahlian ADUN?
    A: Ahli politik mencadangkan pindaan lanjut bagi mengelakkan kekeliruan istilah seperti "hilang keahlian" atau "dipecat" agar tidak menjejaskan perjalanan kerajaan dan urusan politik yang berterusan.



#krisis perlembagaan #Krisis Perlis #Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood #Perlis