NATIONAL
Krisis rumah tangga punca guru tikam anak
Krisis rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang bapa menikam anak bongsunya menggunakan pisau pemotong sayur sebanyak tiga kali dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol, Pasir Mas pada Jumaat. -Sinar Harian
KOTA BHARU: Krisis rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang bapa bertindak luar kawalan sehingga menikam anak bongsunya menggunakan pisau pemotong sayur sebanyak tiga kali dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol, di sini, pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Seorang bapa menikam anak bongsunya yang berusia 11 tahun tiga kali menggunakan pisau pemotong sayur akibat krisis rumah tangga.
- Suspek, yang sedang dalam proses perceraian dan mempunyai masalah mental, telah ditangkap dan ditahan oleh polis.
- Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil, sementara siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 9 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 11 tahun mengalami kecederaan selepas ditikam dua kali di bahagian dada dan satu tikaman di bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek berusia 40-an itu yang bekerja sebagai guru kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga.
"Sebutan kes tersebut dijangka berlangsung pada 13 Mei ini di Mahkamah Syariah Tumpat. Suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan telah menerima rawatan psikiatri sejak dari tahun 2008 sehingga kini.
"Sementara itu mangsa kini menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, suspek telah ditangkap dan ditahan di Balai Polis Pasir Mas.
Ujarnya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan.
Kama Azural memberitahu, siasatan dijalankan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.
"Pihak PDRM menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menjejaskan siasatan.
"Sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi talian 09-7932222," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan selepas ditikam oleh bapanya di Kampung Banggol Che Dol, pada pagi Jumaat.
Mangsa merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu. -Sinar Harian