[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
MALAYSIA

Krisis sempadan Thailand-Kemboja: Malaysia sambut baik kesediaan berdialog - PM Anwar

Astro Awani 15/11/2025 | 10:15 MYT
Malaysia sambut baik usaha diplomatik bagi memastikan pelaksanaan penuh serta berkesan Perjanjian Damai Kuala Lumpur. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesediaan serta jaminan yang diberikan Kerajaan Kemboja dan Kerajaan Thailand untuk memilih serta meneruskan pendekatan dialog dan usaha diplomatik bagi memastikan pelaksanaan penuh serta berkesan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, sekali gus memulihkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesediaan dan jaminan Kerajaan Kemboja serta Kerajaan Thailand untuk menggunakan dialog dan diplomasi bagi memastikan pelaksanaan penuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur demi keamanan di kawasan sempadan.
  • Anwar menghargai peranan proaktif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam mempromosikan penyelesaian damai di sempadan Thailand-Kemboja serta menyambut baik langkah-langkah untuk mencegah tindakan provokatif dan memulihkan hubungan dua hala yang produktif.
  • Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan perjanjian dengan Kemboja selepas letupan periuk api di sempadan yang menyebabkan kecederaan askar, meningkatkan ketegangan, tetapi Perjanjian Damai Kuala Lumpur disambut baik sebagai usaha untuk mengembalikan keamanan di kawasan.


"Saya mengalu-alukan komitmen Kerajaan Kemboja dan Kerajaan Thailand untuk memastikan penyingkiran senjata dan peralatan berat dan pemusnah, serta menyelaras dan melaksanakan pembersihan ranjau kemanusiaan di kawasan sempadan dengan cara yang tepat pada masanya dan pantas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.



Anwar turut menghargai peranan proaktif serta penglibatan konstruktif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlangsung di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

Beliau juga menyambut baik jaminan yang diberikan Perdana Menteri Hun Manet dan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dianggap provokatif, serta mengambil langkah lanjut bagi memupuk keyakinan dan kepercayaan bersama ke arah mengembalikan hubungan dua hala yang produktif antara kedua-dua negara.

Media antarabangsa melaporkan pada Isnin, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.

Empat askar Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket dengan seorang kehilangan kaki kanan.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Hun Manet, disaksikan oleh Anwar dan Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.



#Anwar Ibrahim #Anutin Charnvirakul #Hun Manet #Thailand #Kemboja #krisis sempadan #Donald Trump #terkini