Skip to main content

Malaysia

Krisis tenaga global: Kerajaan dan rakyat perlu bersatu, jadikan "loceng amaran" - Sultan Nazrin

IPOH, 14 April -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Kerajaan dan rakyat perlu bersatu dalam menghadapi cabaran besar dan kritikal negara akibat krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin bertitah, konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran bukan sekadar percaturan politik dan ketenteraan, bahkan membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau, ekonomi dunia dan emosi umat manusia. 

Advertisement

Titah baginda, negara perlu melakukan persiapan secara zahir dan batin untuk menghadapi kemungkinan krisis global yang berpanjangan, manakala rakyat perlu berganding bahu membantu negara melalui detik yang sukar lagi mencabar ini.

“Kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuhkan, keselamatan makanan dipastikan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi. 

“Di samping usaha yang dirintis oleh kerajaan, rakyat juga mempunyai tanggungjawab menghayati semangat ‘berat sama dipikul’, ‘gunung sama didaki’ dengan mengamalkan sifat berhemah dan berjimat cermat, membantu mengurangkan penggunaan bahan api seterusnya mengurangkan subsidi kerajaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Baginda turut menekankan kepentingan pelan komunikasi yang berkesan bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai punca, magnitud serta kesan krisis tersebut terhadap kehidupan harian mereka dalam bahasa yang mudah difahami.

Titah baginda, keadaan semasa bukan masa untuk mana-mana pihak "menangguk di air keruh" atau mengeksploitasi  keadaan bagi tujuan politik yang sempit. 

“Baik di pihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat, begitu juga pihak swasta serta kerajaan, hendaklah mencari titik pertemuan dan persamaan, menunjukkan semangat bersatu, saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda," katanya.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, krisis yang berlaku wajar menjadi "loceng amaran" untuk negara merintis langkah proaktif termasuk alternatif kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan. Usaha peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, disegerakan, dan dilaksanakan secara bersungguh. 

“Kerajaan beta tidak boleh berpeluk tubuh, bersikap penonton yang pasif. Kerajaan beta sewajarnya segera melakukan usaha membangunkan kemudahan untuk menggalakkan rakyat memiliki opsyen, boleh beralih kepada tenaga alternatif, termasuk kenderaan elektrik dan sumber tenaga boleh diperbaharui, solar dan hidro,” titah baginda.

Mengenai impak ekonomi, Sultan Nazrin bertitah,, konflik ketika ini berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dunia dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang, pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu disemak semula jika konflik berlarutan dan menjadi semakin serius. 

“Antara impak paling ketara yang dihadapi dunia ketika ini ialah peningkatan kos logistik dan pengangkutan susulan faktor keselamatan dan impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung.

“Tiada satu pun negara di dunia dapat terlepas daripada tempiasnya. Dengan ekonomi yang terbuka, Malaysia juga terpaksa berdepan risiko pendedahan, menghadapi bukan sahaja kejutan harga minyak global, bahkan jaminan bekalan yang dijangka memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran serta harga barangan dan perkhidmatan.

“Kuasa beli rakyat dan inflasi malah berkemungkinan beralih kepada tekanan fiskal, kerentanan perdagangan dan sentimen pelabur, di samping risiko geopolitik yang kompleks,” titah baginda.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video