MEREKA tidak pernah menyangka impian untuk merayakan Krismas di negara yang ada musim sejuk bakal menjadi kenyataan.

25 Disember 2017, Hari Natal yang pastinya terus diingati dan terpahat kemas di dalam lipatan sejarah Hilary Anak Karim dan Christysterra Johnny.

Dua mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini menyambut Krismas buat pertama kalinya di luar negara. Lebih tepat lagi, negara yang ada musim sejuk.

Hilary Anak Karim dan Christysterra Johnny merupakan antara mahasiswa terlibat yang kini mengikuti program pertukaran pelajar di luar negara dan mereka pada kali ini berada di Universiti Sakarya di Turki.

Hilary berpendapat bahawa pengalaman menyambut Krismas di negara orang kali ini sememangnya pengalaman yang baru untuknya bersama rakan-rakannya.

"Saya juga berpeluang untuk mempelajari tradisi mereka yang menyambut Krismas di sini kerana sudah tentu tradisi di sini berbeza jika dibandingkan di Malaysia. Di Sabah, kami biasanya makan masakan tempatan seperti bosou, bambangan dan tuhau namun di sini kami telah dijamukan dengan makanan tradisional mereka sendiri iaitu dolma, tavuk dan juga baklava," ujar Christysterra apabila dihubungi oleh Awani Rangers UMP melalui panggilan video.


Begitu juga dengan Christysterra, menurutnya, jika beliau berada di Sabah, keluarganya sudah pasti berkumpul di rumah nenek mereka dan dihadiri oleh semua ahli keluarga besar mereka bagi menyambut perayaan ini tidak kiralah saudara dari jauh mahupun dekat.

Hilary, 21, merupakan pelajar tahun tiga dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Christysterra, 21, pula dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri di UMP.

Di sebalik keghairahan dan keterujaan menyambut Krismas di perantauan, mereka fokus terhadap agenda yang lebih besar untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Antara lain, program pertukaran pelajar menjadi platform untuk mereka melebarkan 'sayap' serta pemikiran, melihat dunia seluas-luasnya untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.

UMP amat menggalakkan para mahasiswa untuk mengikuti program pertukaran pelajar ke luar negara yang berlangsung selama satu semester iaitu enam bulan untuk menimba pengalaman dan bertukar kepakaran dengan mahasiswa luar negara.

_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UMP, Nazmi Nasir dan suntingan oleh Mimi Rabita PNC dari Universiti Malaysia Pahang (UMP)

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UMP ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Bagi pelajar IPT yang ada cerita yang ingin dikongsikan kepada dunia, ini tempatnya! - awanirangers.com