KRS Travel, Amal by Malaysia Airlines meterai perjanjian Konsortium Agensi Pelancongan Umrah

Eton Khir
November 29, 2021 11:37 MYT
Muhammad Ssunaibari bersama Muhammad Najmi ketika memeterai perjanjian kontrak dan MoU Konsortium Agensi Pelancongan Umrah.
PETALING JAYA: Syarikat Pengendali Umrah dan Haji, KRS Travel Sdn Bhd memeterai perjanjian kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) Konsortium Agensi Pelancongan Umrah dengan penerbangan Airbus A330-200 bersama Amal by Malaysia Airlines (AMAL).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRS Travel Group Sdn Bhd, Muhammad Ssunaibari Mohd Khalil, kedua-dua inisiatif tersebut merupakan satu bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada pihak agensi dan para jemaah.
Tambahnya, bagi konsep MOU Konsortium Agensi Pelancongan Umrah ini mensasarkan 10,000 orang dengan dianggarkan sebanyak 130 agensi yang terlibat.
"Misi ingin mengumpul seberapa banyak agensi dan kita faham dengan situasi pandemik COVID-19 ketika ini, banyaknya agensi pelancongan yang kekurangan pekerja.
"Jadi dengan pelaksanaan inisiatif ini ia sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh pihak agensi dengan tidak lagi perlu memikirkan soal penerbangan.
"Dengan kata lain, kumpulan konsortium ini akan terbang setiap dua hari atau satu kumpulan konsortium ini akan berlanjutan sehinggalah ke bulan Ramadan," katanya ketika majlis pelancaran itu pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor, berkata syarikat itu optimis dengan langkah kerjasama ini kerana dapat meneruskan prospek pertumbuhan sektor perkhidmatan umrah dengan pantas.
"Berkenaan operasi AMAL untuk musim ini, kami akan mulakan penerbangan pertama pada 30 Disember iaitu esok malahan jika dilihat daripada rekod yang ada, lebih kurang 200 jemaah untuk penerbangan ke Madinah esok, Insya-Allah.
"Dan untuk musim ini bermula daripada Disember hingga ke April tahun depan, kami menawarkan penerbangan sebanyak lapan kali seminggu dengan empat kali ke Jeddah dan empat lagi ke Madinah.
"Manakala, dari segi operasi, bermula tahun ini kami akan menggunakan kapal terbang Airbus A330-200, di mana jumlah kerusi jualan adalah sebanyak 283 dan lebih kurang 18 kerusi untuk kelas perniagaan serta 265 untuk kelas ekonomi" katanya.
Ujarnya lagi, antara enam agensi utama yang terlibat menerusi kerjasama ini adalah KRS Travel Sdn Bhd, Tiram Travel Sdn Bhd, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji dan Wira Saujana Travels and Tours Sdn Bhd.
Pada masa sama, Najmi berkata pihaknya melaksanakan kepelbagaian perkhidmatan istimewa, antaranya menganjurkan sesi tarbiyah, doa musafir, azan, pengumuman miqat dan tazkirah bersama mutawif dan ustaz yang mengiringi para jemaah termasuk pemberian kit umrah kepada golongan jemaah.
#COVID-19 #umrah #Amal by Malaysia Airlines AMAL #konsortium