MALAYSIA

KSN dahului senarai penerima darjah, pingat kebesaran Perak

Abd Razak Mohd Ali 06/11/2025 | 22:50 MYT
Shamsul Azri mendahului senarai 238 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Gambar Bernama
IPOH: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 238 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Khamis.

Shamsul Azri, 56, dianugerahkan darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga orang menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri iaitu Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Peguam Cara Negara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Besar Empat Perak, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara; Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerima Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Dato’ Seri Panglima manakala Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ir. Roslan Ismail dianugerahkan
Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Senarai nama penerima diumumkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin pada satu sidang media.

Seramai 17 orang dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah.

Turut menerima anugerah DPMP ialah Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Perak, Zamri Mohd Zain; Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Adzwan Mustapha; Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Sayani Saidon dan Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Roslan Ariffin.

Mohd Zahidi berkata, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) secara anumerta kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Selain itu, katanya, baginda juga berkenan mengurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada pasangan bergu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang telah berjaya menjuarai Kejohanan Dunia BWF World Championships 2025 yang berlangsung di Paris pada 25 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

“Darjah kebesaran, bintang dan pingat-pingat negeri pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri Perak Darul Ridzuan dan mengharumkan nama negeri, serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, istiadat penganugerahan akan diadakan sebanyak dua sesi, iaitu pada Ahad ini dan Sabtu depan, kedua-duanya di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Beliau berkata, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat hari ini.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak, diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing, katanya.

Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan kepada 9,900 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah.

Rakyat Perak juga diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.





#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #KSN #Shamsul Azri Abu Bakar #pingat kebesaran Perak