Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melahirkan rasa kesal dengan aduan terdapat pengamal perubatan di hospital kerajaan yang terpaksa dibuang kerja berikutan ketidakhadiran ke tempat kerja untuk tempoh masa yang begitu lama.

Beliau berkata mengikut laporan yang diterima dari Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan, ada beberapa pegawai baharu yang menjalani latihan gagal hadir ke tempat kerja untuk tempoh masa lama sehingga mencecah ratusan hari dipercayai kerana tidak dapat menerima tekanan di tempat kerja.

Katanya, perkara ini perlu ditangani secara baik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian itu berikutan ia boleh memberikan kesan terhadap nama baik profesionalisme pengamal perubatan dan imej negara.

"Mungkin tekanan kerja, bila datang keadaan kehidupan sebenar, mungkin ada yang tidak boleh ambil tugas yang seberat begitu yang mana pengamal perubatan lain mengamalkannya sejak Merdeka lagi," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Ali berkata pegawai perubatan yang gemar 'hilang' dari tugas, harus sedar atas pengorbanan ibu bapa mereka yang terpaksa berbelanja ratusan ribu ringgit bagi membiayai kos pengajian mereka.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis amanat kepada warga kerja HTAR, beliau berkata kadar buang kerja melibatkan penjawat awam di sektor perubatan adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai bilangan pegawai perubatan yang dibuang kerja dan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada JPA dalam masa terdekat.

Mengenai dakwaan negara ini mempunyai terlalu ramai penjawat awam berbanding negara lain, Ali berkata perbandingan itu tidak tepat kerana definisi perkhidmatan awam di setiap negara berbeza.

Beliau berkata terdapat bilangan penjawat awam yang ramai di negara ini disebabkan Malaysia mengiktiraf perkhidmatan kritikal dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai perkhidmatan awam berbanding negara lain yang melakukan sebaliknya.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dilapor berkata, terdapat seorang penjawat awam kepada setiap 19.37 orang di negara ini.

Media melaporkan nisbah penjawat awam kepada penduduk di negara lain seperti Singapura ialah 1:71.4 orang, Indonesia 1:110 orang, Korea 01:50 orang, China 1:108 orang, Jepun 1:28 orang, Rusia 1:84 orang dan United Kingdom 1:118 orang.

-- BERNAMA