KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta meneliti semula wajaran penilaian menerusi penggunaan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bagi jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah itu bertujuan memastikan sistem penilaian prestasi pegawai pengurusan tertinggi perkhidmatan awam kekal holistik, relevan dan mencerminkan dinamika cabaran pentadbiran semasa.
“Melangkah ke hadapan, saya telah meminta JPA meneliti semula wajaran DEEP KSU supaya tidak hanya tertumpu kepada projek pembangunan, tetapi turut mengambil kira kombinasi projek berimpak tinggi dan rakyat-sentrik.
“Digitalisasi juga perlu menjadi sebahagian daripada indikator prestasi, termasuk sejauh mana kementerian berupaya beralih kepada urusan tanpa kertas. Kita mahu ukuran prestasi yang benar-benar mencerminkan perubahan yang dipimpin dan hasil yang dirasai rakyat,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Selasa.
Shamsul Azri berkata penilaian prestasi kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam mesti melihat kepada hasil dan impak sebenar.
Beliau berkata demikian selepas meneliti pencapaian KSU kementerian serta pelaksanaan rintis DEEP melibatkan 30 Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan dalam Sesi Pembentangan Laporan Penilaian DEEP Suku Kedua 2026 petang semalam.
DEEP, yang diperkenal sebelum ini, ialah kerangka penilaian komprehensif bagi mengukur prestasi dan keupayaan kepimpinan peringkat tertinggi di pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.
-- BERNAMA