MEKAH: Sebanyak 53 penerbangan ke Jeddah akan mula tiba Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah bermula Jumaat, kata Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Penerbangan pertama membawa KT46 yang membawa seramai 283 jemaah dan selamat tiba pada 9.01 pagi Jumaat waktu Arab Saudi.

"Setakat tengah hari Khamis, 23 Mei 2024, sebanyak 43 daripada 100 penerbangan sewa khas telah berlepas dari tanah air dengan 12,686 jemaah haji tiba di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

"Daripada jumlah itu seramai 5,380 jemaah haji kini berada di Madinah manakala seramai 7,306 jemaah lagi di Mekah dan mereka sedang sibuk melaksanakan ibadah di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sambil menunggu hari wukuf di Arafah nanti," katanya.

Menurut Syed Saleh, yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH, berbaki hanya empat sahaja lagi penerbangan jemaah yang akan mendarat di Madinah sejak ia tiba secara berperingkat 9 Mei lepas.

Katanya, operasi Haji untuk musim 1445H/2024M yang bermula pada 9 Mei 2024, terus berjalan dengan baik dan lancar, sama ada di tanah air atau di Tanah Suci.

Bagi jemaah yang tiba di Mekah, mereka akan diuruskan oleh petugas pembimbing haji TH termasuk membantu mengerjakan umrah pertama selain diberi peluang mengikuti pelbagai aktiviti yang dijadualkan untuk mereka termasuk sesi taklimat serta ziarah luar.

Manakala bagi jemaah yang masuk ke Madinah pula, mereka diatur untuk mengikuti jadual serta aktiviti merangkumi ziarah luar, ziarah Makam Rasulullah dan memasuki Raudah.

Kuota rasmi jemaah haji bagi tahun ini yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia adalah sama seperti tahun lepas iaitu seramai 31,600 orang.

Penerbangan akhir dari Kuala Lumpur masuk ke Arab Saudi ialah pada 9 Jun ini.

Hari Wukuf ialah pada 9 Zulhijjah atau bersamaan 15 Jun ini (Sabtu), di mana ia adalah kemuncak musim panas di Arab Saudi.