Skip to main content

Malaysia

KTMB catat peningkatan 72 peratus penumpang ETS sempena Tahun Baharu Cina

71765529535_TBets.jpg
Bagi tempoh 13 hingga 22 Feb, ETS mencatatkan 227,512 penumpang berbanding 132,636 penumpang bagi tempoh sama pada 2025. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 72 peratus jumlah penumpang bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini berbanding tahun lepas.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi tempoh 13 hingga 22 Feb, ETS mencatatkan 227,512 penumpang berbanding 132,636 penumpang bagi tempoh sama pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan penumpang terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan ETS sebagai mod perjalanan utama ketika musim perayaan.

Advertisement

“Peningkatan ini didorong oleh keperluan perjalanan lebih tinggi ketika musim perayaan, selain kecenderungan pengguna memilih ETS sebagai alternatif lebih lancar untuk mengelakkan kesesakan trafik jalan raya yang lazimnya meningkat pada waktu puncak perayaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata sambutan pengguna terhadap jualan tiket ETS juga sangat menggalakkan apabila 182,934 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.79 peratus kadar jualan tiket bagi musim perayaan berkenaan.

Beliau berkata prestasi ketepatan masa perkhidmatan ETS turut meningkat kepada 86 peratus pada tahun ini, berbanding 80 peratus pada tahun lepas.

“Dalam memastikan operasi yang stabil dan konsisten, KTMB terus memperkukuh pemantauan keselamatan serta tindakan mitigasi khususnya bagi menangani cabaran seperti pencerobohan di kawasan landasan, kejadian kecurian kabel dan gangguan terhadap sistem persemboyanan,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan tinggi sempena musim perayaan, KTMB menyediakan 60 perjalanan tren ETS secara keseluruhan, iaitu jumlah tertinggi pernah ditawarkan setakat ini.

Peningkatan kapasiti itu direalisasikan hasil penerimaan penuh 10 set ETS3 baharu, sekali gus membolehkan KTMB mengoptimumkan perkhidmatan pada tahap maksimum demi memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa, selamat dan tepat pada masanya.

Selain itu, KTMB turut memperkenalkan empat perjalanan tren EMU Plus khusus bagi laluan KL Sentral - Ipoh pada tahun ini bagi membantu kelancaran pergerakan penumpang untuk pulang beraya.

KTMB turut menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel negara melalui pengoptimuman operasi tren, penambahbaikan berterusan, penggunaan aset tren termasuk set ETS3 serta pemerkasaan langkah keselamatan demi memastikan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan efisien kepada semua pengguna.

-- BERNAMA

Must Watch Video