MALAYSIA
KTMB sedia dua tren ETS tambahan sempena Deepavali

Keretapi Tanah Melayu Berhad akan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan sebaliknya sempena sambutan Deepavali pada 20 Okt ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan sebaliknya sempena sambutan Deepavali pada 20 Okt ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama enam hari bermula 17 hingga 22 Okt, dengan penjualan tiket tren dibuka mulai 10 pagi, Selasa ini.
"Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tempat duduk sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk sebanyak 3,780 ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan.
"Tambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman," menurut kenyataan itu.Bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral, tren tambahan akan berlepas pada 11.05 pagi dan dijangka tiba pada 4.30 petang manakala perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar akan bermula 5 petang dan dijangka tiba 10.20 malam.
KTMB menyarankan orang ramai membuat pembelian tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman web KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM Wallet bagi mempercepat proses pembelian.
"Mereka juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
"Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas," menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB melalui talian 03-9779 1200.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami