[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

KTMB tambah perkhidmatan tren sektor Selatan, Pantai Timur bermula 1 Jan 2026

Bernama 16/12/2025 | 06:00 MYT
Langkah itu antaranya melibatkan pertambahan empat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi sektor Selatan untuk laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan pertambahan perkhidmatan tren bagi sektor Selatan dan Pantai Timur bermula 1 Jan depan, selaras dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kapasiti, ketersambungan serta keselesaan perjalanan antara negeri.


Ringkasan AI
  • KTMB akan menambah perkhidmatan tren ETS bagi sektor Selatan dan Pantai Timur bermula 1 Januari depan untuk meningkatkan kapasiti, ketersambungan, dan keselesaan perjalanan antara negeri.
  • Pertambahan perkhidmatan termasuk empat ETS bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral dan tambahan dua perkhidmatan untuk laluan JB Sentral-Padang Besar.
  • Inisiatif ini turut melibatkan penambahan dua perkhidmatan baharu untuk Shuttle Timuran laluan Gemas-Kuala Lipis bagi memenuhi keperluan pengguna di Pantai Timur yang ingin ke Johor Bahru.


KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan pertambahan empat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi sektor Selatan untuk laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral, menjadikan jumlah keseluruhan lapan perkhidmatan sehari disediakan di sektor berkenaan.

Bagi laluan terus JB Sentral-Padang Besar, KTMB memaklumkan dua perkhidmatan sedia ada melibatkan Padang Besar-Segamat -Padang Besar akan turut dilanjutkan sehingga ke JB Sentral.

"Ia bagi melengkapkan akses terus dari Malaysia Utara ke Johor Bahru sekali gus menyempurnakan objektif Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dalam menjadi rangkaian berkesinambungan antara ekonomi Selatan dan Utara," menurut kenyataan itu.

Selain itu, bermula 1 Jan ini, Shuttle Timuran laluan Gemas-Kuala Lipis akan ditambah dua perkhidmatan baharu, menjadikan keseluruhan enam perkhidmatan sehari.

"Inisiatif ini bagi memberi peluang kepada pengguna di Pantai Timur, khususnya mereka yang ingin melakukan perjalanan ke Johor Bahru dan merasai pengalaman menaiki ETS3 melalui transit di stesen Gemas," menurut KTMB.

KTMB memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan berkaitan akan dibuka bermula 12 tengah hari esok, bagi tempoh enam bulan sehingga Mei depan bertujuan memenuhi keperluan pengguna khususnya ketika cuti umum dan musim perayaan seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan Aidilfitri.

Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kiosk KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin dalam kenyataan sama berkata jajaran lengkap perkhidmatan tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru kini memperkukuh rangkaian rel nasional.

"Ia juga membuka lembaran baharu kepada masa depan pengangkutan rel yang lebih mapan, moden dan mesra rakyat," katanya sambil menyifatkan pencapaian itu memperluas pilihan mobiliti awam yang lebih selesa, cekap dan selamat, sekali gus memberi alternatif lebih berkualiti kepada pengguna.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA


#KTMB #Pantai Timur #laluan selatan #ETS