KTMB tambah tren ETS sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina

Kadar pembelian awal yang tinggi itu mencerminkan peningkatan permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan ETS menjelang musim perayaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 peratus tiket perkhidmatan tren Keretapi Elektrik Berkelajuan Tinggi (ETS) bagi perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri telah terjual setakat ini dan dijangka habis sepenuhnya sekitar Februari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kadar pembelian awal yang tinggi itu mencerminkan peningkatan permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan ETS menjelang musim perayaan.
Beliau berkata, bagi menampung keperluan penumpang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan lapan perjalanan tambahan bermula 13 hingga 29 Mac depan.
Menurutnya, penambahan perkhidmatan itu melibatkan laluan utama termasuk JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral dan KL Sentral–Butterworth–KL Sentral.
Katanya, bagi tempoh berkenaan, 36,540 tiket tambahan akan ditawarkan kepada pengguna.
“Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sempena Aidilfitri akan mencecah sehingga 52 perjalanan sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026 di KL Sentral, di sini pada Selasa.
Loke berkata, jualan tiket bagi perkhidmatan tambahan itu akan dibuka bermula 1 Mac bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jualan tiket ETS sempena Tahun Baharu Cina hampir habis dijual susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna.
Sehubungan itu, katanya, KTMB akan menambah perkhidmatan ETS bagi tempoh 13 hingga 22 Februari.
Penambahan perkhidmatan itu melibatkan laluan KL Sentral–Butterworth–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral serta JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, dengan dua perjalanan sehari bagi setiap laluan.
Beliau berkata, bagi tempoh tersebut, sebanyak 26,450 tiket disediakan untuk jualan.
“Jualan tiket ETS bagi musim Tahun Baharu Cina telah dibuka pada 29 Januari dan setakat ini menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


