Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bukan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang sah.

Sebaliknya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lantikan Mohamad Nazri tidak pernah disahkan gabungan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Setiausaha BN.

"Memandangkan dalam piagam BN, apa sahaja keputusan yang hendak diambil mestilah melalui konsensus, jadi Setiausaha Agung BN masih lagi Tengku Adnan memandangkan beliau tidak pernah meletak jawatan dan tidak pernah dibawa dalam mesyuarat BN mengenai pelantikan Setiausaha Agung baharu," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Jumaat.

Mesyuarat Bersama MCA dan MIC pada Isnin membuat ketetapan bahawa pelantikan Mohamed Nazri tidak mengikut Perlembagaan BN.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu, pelantikan Mohamed Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan secara rasmi di dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC pada 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu kata Mohamad, Tengku Adnan akan memegang jawatan itu sehingga beliau meletak jawatan atau diberhentikan.

BACA: Tiada keperluan untuk bubar BN - Tok Mat