Kuala Lumpur boleh contohi infrastruktur laluan basikal di Putrajaya

Dania Zainuddin
September 1, 2017 11:31 MYT
Perbincangan akan dibuat dengan DBKL mengenai penyelengaraan dan infrastruktur laluan basikal di bandar itu. - Gambar fail
Infrastruktur laluan basikal di Putrajaya boleh dijadikan contoh kepada Kuala Lumpur dalam pelaksanaannya ke arah 'Bandar Raya Mesra Basikal'.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penyelengaraan dan infrastruktur laluan basikal di bandar itu.
"Kita akan pastikan garisan basikal di atas jalan akan diperbaiki. Di Putrajaya, kita meletakkan satu jalan khusus warna merah.
"Barangkali kita akan ikut apa Putrajaya lakukan di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita ketika Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Program Santai Bersama Keluarga, di Putrajaya, hari ini.
Jelasnya lagi, masyarakat turut memainkan peranan untuk menghubungi hotline maklum balas DBKL jika ada sebarang masalah.
Sebelum ini, kementerian itu menerusi Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata akan meneliti lokasi yang mempunyai infrastruktur jalan raya lengkap termasuk lampu jalan sebagai laluan berbasikal.
Langkah itu adalah bagi memastikan sebarang kemalangan membabitkan penunggang basikal dapat dielakkan.
#aktiviti berbasikal #DBKL #Kuala Lumpur #lalauan basikal #Putrajaya