[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Kuala Lumpur destinasi pilihan utama percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia

Bernama 17/06/2025 | 10:45 MYT
Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi destinasi percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menduduki tempat teratas bagi destinasi percutian mikro untuk penginapan semalaman di Asia, sementara Pulau Pinang di tangga kesembilan, menurut tempahan dibuat menerusi platform pelancongan digital Agoda, bagi tempoh Iima bulan pertama tahun ini.

Ringkasan AI
  • Kuala Lumpur menduduki tempat pertama dan Pulau Pinang tempat kesembilan sebagai destinasi percutian mikro di Asia menurut Agoda.
  • Destinasi seperti KL dan Pulau Pinang menarik kerana budaya, akses mudah dan kos berpatutan untuk percutian singkat.
  • Perjalanan mikro semakin popular kerana ia membolehkan pengembara bercuti sekejap tanpa perancangan rumit.

Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda Fabian Teja berkata bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menawarkan gabungan pelbagai akses, kaya dengan budaya serta kemampuan dari segi kos, menjadikan Malaysia sebagai tumpuan utama serantau untuk pengembaraan jangka pendek.
"Pengembara masa kini mencari kaedah bijak dan fleksibel untuk meneroka, walaupun dalam tempoh masa terhad. Perjalanan mikro membolehkan orang ramai melarikan diri daripada rutin dan meluangkan masa untuk menyegarkan diri tanpa perlu bercuti panjang atau perancangan teliti.
"Destinasi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menunjukkan bagaimana penginapan semalaman boleh menawarkan pengalaman menarik dan tidak dapat dilupakan, sama seperti percutian lebih panjang," katanya dalam kenyataan.
Mengikut data Agoda, Seoul (Korea Selatan) berada di tempat kedua senarai, diikuti Taipei (Taiwan), Manila (Filipina), Pattaya (Thailand), Jeju (Korea Selatan), Nagoya (Jepun) dan Kaohsiung (Taiwan), manakala Surabaya (Indonesia) di kedudukan ke-10.
Agoda menggambarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi ideal untuk percutian 24 jam bagi melarikan diri daripada kesibukan bandar, dengan menawarkan pelbagai tarikan seperti bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas, pasar malam serta kepelbagaian budaya makanan jalanan yang meriah dan menarik.
Agoda memaklumkan perjalanan mikro terus menarik minat pengembara moden yang mencari percutian segera dan menjimatkan kos dengan perancangan minimum.
-- BERNAMA
#Kuala Lumpur #pulau pinang #destinasi percutian mikro #Asia