KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Malaysia dilaporkan semakin merosot apabila beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung dan Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat serta berbahaya akibat pengaruh jerebu rentas sempadan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata keadaan itu dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari beberapa kawasan yang sedang mengalami aktiviti pembakaran terbuka.
Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpangkalan di Singapura pada 29 Ogos, imej satelit NOAA-20 mengesan sebanyak 1,180 titik panas di Kalimantan, 18 titik panas di Sumatera dan 13 titik panas dalam negara.
Daripada jumlah itu, dua titik panas dikesan di Perak, dua di Sabah dan sembilan di Sarawak.
ASMC turut melaporkan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan rantau ASEAN bahagian selatan kecuali beberapa lokasi di utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang menerima hujan.
"Titik panas yang meluas dikesan di Kalimantan manakala titik panas terpencil turut dikenal pasti di Sulawesi serta bahagian selatan dan tengah Sumatera.
"Beberapa titik panas juga dikesan di bahagian tengah Sarawak dan bahagian timur Jawa," menurut kenyataan itu.
JAS memaklumkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat sebelum bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Jerebu sederhana hingga tebal turut kelihatan di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta kawasan tengah dan selatan Sumatera.
Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat dan tengah Sarawak, bahagian barat Semenanjung Malaysia serta bahagian selatan dan tengah Sumatera turut merekodkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat hingga Berbahaya.
JAS berkata pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan kawal selia secara berterusan bagi mengawal pencemaran udara serta mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat mendapatkan maklumat kesihatan terkini menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya ketika keadaan berjerebu.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membenarkan premis serta tanah milik mereka digunakan bagi aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran.
Menurut agensi itu, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 memperuntukkan denda minimum RM25,000 dan maksimum RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.