MALAYSIA

Kuantan diramal banjir bermula hari ini hingga Selasa

Bernama 06/12/2025 | 06:00 MYT
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 3 Dis lepas. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan amaran banjir di Kuantan, terutama di kawasan rendah serta berdekatan Lembangan Sungai Kuantan dan Cherating bermula hari ini hingga Selasa.


Ringkasan AI
  • Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan amaran banjir di Kuantan, terutama di kawasan rendah serta berdekatan Lembangan Sungai Kuantan dan Cherating bermula hari ini hingga Selasa.
  • Banjir berpotensi berlaku di Kampung Pasir Kemudi, Bandar Kuantan, dan kawasan lain berikutan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi paras bahaya menurut amaran hujan berterusan dari MetMalaysia.
  • Penduduk di kawasan yang berisiko disarankan untuk bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana banjir bagi keselamatan bersama.


PRABN memaklumkan berdasarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 3 Dis lepas, serta status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi paras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di daerah berkenaan.

"Antara kawasan berisiko ialah Kampung Pasir Kemudi, Kampung Panching, Kampung Sungai Lembing, Kampung Melayu, Kampung Sungai Rimau, Bandar Sungai Lembing, Bandar Kuantan, Kampung Galing, Taman Galing, Alor Akar, Beserah, Alor Ladang, Kampung Sungai Soi, Tanah Putih dan Kampung Jawa, Medan Warisan, Taman Putih Lama, Kampung Cenderawasih Kampung Kurnia," menurut kenyataan itu.

Turut terlibat Kampung Belukar, Kampung Razali, Collector Drain Sungai Isap Damai, Sungai Isap 1 dan 2, Kampung Chendering, Kampung Bukit Rangin, Kampung Sungai Tiram, Kampung Sungai Pinang dan Taman Perumahan Padang Maju.

"Kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Cherating turut berisiko dengan melibatkan kawasan Kuarters Pegawai Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kampung Cherating, Kampung Cherating Damai, Taman Balok Damai, Kampung Chendor," menurut kenyataan itu.

PRABN memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat berbanding waktu dijangkakan.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA




#Kuantan #ramalan banjir #Lembangan Sungai Kuantan #Cherating