IPOH: Polis Perak telah menerima sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris Itam Lasoh, salah seorang mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai dekat sini Mac lalu.

Bagaimanapun, waris seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, masih belum menyerahkan sampel kerana difahamkan berada di luar negara. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya masih menunggu sampel itu bagi mengenal pasti identiti mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

“Untuk mangsa yang berasal daripada Orang Asli itu, kita telah mengambil sampel DNA daripada keluarganya.

"Dan yang seorang lagi mangsa, iaitu yang berketurunan Cina, kita masih lagi menunggu keluarga mangsa ini memberi sampel DNA, kerana keluarga ini berada di luar negara, difahamkan di Switzerland.

“Jadi, kita akan menunggu sampel-sampel ini diberikan oleh keluarga masing-masing untuk kita padankan atau pastikan adakah mangsa tersebut daripada kalangan mereka yang hilang atau keluarga mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Katakan Tidak Kepada Buli di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini hari ini.

Menurutnya, tempoh keputusan ujian DNA itu akan diketahui bergantung kepada pihak Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pada Khamis, operasi mencari di tapak runtuhan kuari ditamatkan ekoran penemuan kedua-dua jengkaut, cebisan pakaian dan tulang manusia, dipercayai milik kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika kejadian.

Pada 8 Mac lalu, insiden runtuhan batu di tapak kuari yang terletak di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu mengakibatkan dua mangsa tertimbus.

Mereka dikenali sebagai Itam, 43 tahun, dan Kheow, 49 tahun.