PUTRAJAYA: Kuasa autonomi, kawal selia dan eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) masih kekal di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang walaupun lembaga itu kini dipindahkan ke Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan menjelaskan sejak negara mencapai kemerdekaan, pentadbiran LWHNPP diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri malah sehingga kini pengerusinya dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

"Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perpaduan Negara hanya memantau di bawah Akta Tugas-Tugas Menteri 1969 serta membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan LWHNPP kepada Jemaah Menteri dan Parlimen," katanya.

Antara kementerian yang pernah terlibat dalam membentangkan laporan itu ialah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Malaysia (dari 2000 hingga 2005), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2005 hingga 2014), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Manusia.

LWHNPP adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Jan 1906 untuk mentadbir, menyelenggara dan menyelia wakaf-wakaf Hindu yang telah atau akan diberi untuk maksud keagamaan, kebajikan, khairat dan memberi manfaat termasuk pendidikan.

Selain itu, lembaga itu juga menyimpan kira-kira harta benda termasuk wang dan barang kemas wakaf dan kuil berkenaan.

"Kementerian Perpaduan Negara amat mengalu-alukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkasakan lembaga ini," katanya.

Penyusunan semula agensi kerajaan menerusi rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyaksikan pemindahan LWHNPP dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang terletak di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri ke KPN.

-- BERNAMA