MALAYSIA

Kuasa nuklear pilihan berpotensi untuk perkukuh keterjaminan tenaga ASEAN - Fadillah

Bernama 17/10/2025 | 13:15 MYT
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada penutup Forum Perniagaan Tenaga ASEAN Ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kuasa nuklear, terutamanya teknologi baharu seperti reaktor modular kecil, sedang dipertimbangkan sebagai pilihan berpotensi untuk mengukuhkan jaminan tenaga dan menyokong peralihan tenaga rendah karbon ASEAN.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia sedang menilai potensi tenaga nuklear, termasuk teknologi reaktor modular kecil, sebagai sebahagian strategi tenaga jangka panjang negara.
  • Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati dan mengikut piawaian IAEA dalam mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan stabil.
  • Korea Selatan menyokong kerjasama nuklear ASEAN dan Malaysia, dengan negara itu kini mengendalikan 26 reaktor yang membekalkan 30 peratus tenaga elektriknya.


Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berkata bagi Malaysia, kerajaan sedang menilai peranan tenaga nuklear dalam strategi tenaga jangka panjangnya untuk memastikan keterjaminan, kemampuan dan kemampanan tenaga.

"Berpandukan amalan terbaik antarabangsa dan selaras dengan pendekatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kami mengambil langkah dengan berhati-hati dan telus untuk membina asas institusi, teknikal dan sumber manusia yang diperlukan bagi membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai pembangunan tenaga nuklear," katanya.

Fadillah berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Kerjasama Tenaga Nuklear Lestari ASEAN-Korea, yang diadakan di luar Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25, di sini, hari ini.

Menurutnya, kemajuan pesat Korea Selatan dalam teknologi dan keselamatan nuklear, ditambah dengan permintaan tenaga ASEAN yang semakin meningkat, menyediakan asas kukuh untuk pembelajaran bersama, perkongsian teknologi dan pembinaan kapasiti.

Justeru, katanya, kerjasama dengan rakan di Korea Selatan dan di seluruh ASEAN adalah suatu yang amat bernilai.

Sementara itu, Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seungbae, berkata ketika ASEAN muncul sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan pusat digital, pertumbuhan pesat penduduk dan organisasi telah menjadikan Asia Tenggara sebagan antara rantau yang paling pesat berkembang di dunia dari segi permintaan elektrik.

Beliau berkata Pusat Tenaga ASEAN (ACE) menganggarkan rantau ini memasang kira-kira 5.2 gigawatt kapasiti penjanaan tenaga nuklear menjelang 2050.

Menurutnya, selaras dengan unjuran ini, kebanyakan anggota ASEAN kini mengambil langkah konkrit ke arah pengeluaran nuklear, juga dengan kerjasama rapat bersama Korea Selatan.

Beliau berkata Malaysia, sebagai contoh, kini melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bersih menyeluruh, yang mengkaji kuasa nuklear sebagai sumber elektrik stabil, bersih dan terjamin.

"Seperti yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, negara ini kini mengambil langkah persediaan untuk memasukkan tenaga nuklear ke dalam campuran kuasanya menjelang 2031.

"Penglibatan aktif Korea Selatan dalam inisiatif nuklear ASEAN ini bukanlah suatu kebetulan. Ia adalah bukti usaha gigih kami, terutamanya dalam dua tonggak, keselamatan dan keberkesanan kos nuklear yang menentukan kejayaan prestasi nuklear," katanya.

Yeo berkata Korea Selatan kini mengendalikan 26 reaktor nuklear yang membekalkan dengan selamat kira-kira 30 peratus daripada tenaga elektrik, menjadikan negara itu sebagai antara kuasa nuklear utama di dunia.

-- BERNAMA



#kuasa nuklear #reaktor modular kecil #keterjaminan tenaga ASEAN #Fadillah Yusof