ADALAH menarik untuk diperhatikan akan Kenyataan Media DYMM Sultan Johor bertarikh 12hb Januari 2021 berkaitan aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Negeri Johor yang menyatakan antaranya adalah kebenaran untuk solat berjemaah dan solat Jumaat yang diberikan oleh DYMM Tuanku di masjid dan surau di negeri Johor adalah pada jumlah maksimum 12 orang.

Titah Tuanku tersebut diikuti pula dengan Pekeliling Pelaksanaan Solat 5 Waktu Bilangan 17 tahun 2021 oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan disahkan Mufti Negeri Johor yang melaksanakan titah Tuanku bagi pelaksanaan ketetapan maksimum 12 orang jemaah tersebut.

Pada masa yang sama kita mendapati terdapat elemen berbeza dalam titah DYMM Tuanku berbanding dengan Perenggan 29 Perutusan Khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan YAB Perdana Menteri pada 11hb Januari 2021 dan prosedur operasi standard (SOP) Aktiviti Masjid dan Surau, Majlis Keselamatan Negara bertarikh 12hb Januari 2021 yang menyatakan bahawa had maksimum bagi jemaah hadir ke masjid untuk aktiviti keagamaan adalah seramai lima orang sahaja.

Bagi solat Jumaat, Majlis Keselamatan Negara membuat ketetapan bagi Wilayah Persekutuan dan menyebut akan kuasa Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri hanya bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang tetapi tidak pula menyentuh akan perihalan negeri Johor.

Perbezaan angka jemaah 12 orang yang ditetapkan negeri Johor dan lima orang yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan itu sungguh pun bagi orang awam kelihatannya tidak membawa maksud yang besar, namun sebenarnya memberikan indikasi yang amat signifikan terhadap kuasa negeri dalam menentukan hal ehwal pengurusan agama Islam sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Selain dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, negara kita juga sedang berada di bawah suatu fasa darurat rentetan suatu Proklamasi Darurat yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bermula 11 Januari 2021 disebabkan oleh berleluasanya pandemik COVID-19 dan banjir di dalam negara kita yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Sungguhpun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa meluas  di dalam tempoh darurat ini, namun dalam keluasan itu terdapat suatu kuasa yang masih tidak tergapai oleh Proklamasi Darurat iaitu berkaitan hal ehwal Hukum Syara’ dan juga adat istiadat orang Melayu sebagaimana yang dijamin oleh Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan.

Demikianlah manifestasi tingginya letak duduk agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Baginda Sultan Johor dalam kenyataannya tersebut meraikan malahan menyokong keperluan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di Negeri Johor bagi menangani pandemik ini khusunya bagi menjaga nyawa rakyat di negeri tersebut.

Namun sementara sokongan dizahirkan akan perkara asas iaitu keselamatan rakyat, Tuanku Sultan telah kelihatannya membezakan ketetapan Negeri Johor dengan keputusan kerajaan Persekutuan dalam menguruskan hal ehwal agama Islam khususnya dalam mengimarahkan masjid.

Itu memberi isyarat jelas bahawa ada hal-hal tertentu yang mana keputusan negeri akan mengatasi keputusan kerajaan Persekutuan tanpa mengurangkan keakraban hubungan antara negeri dan persekutuan.

Dalam kehidupan kita hari ini, terdapat dalam banyak keadaan, urusan hal ehwal agama Islam yang berada di dalam kuasa negeri didapati terkait dengan kuasa Persekutuan.

Ini berlaku antaranya dalam soal pendaftaran anak tak sah taraf, penggunaan kalimah Allah, status tanah wakaf, status fatwa mufti, status seseorang yang keluar atau masuk agama Islam dan pendidikan agama Islam.

Perihal-perihal itu kadang kala diheret ke platform Mahkamah Sivil melalui proses semakan kehakiman untuk merungkaikan simpulan tersebut yang terkadang tidak pula menyebelahi pihak negeri.

Justeru, perbezaan elemen ketetapan jemaah masjid oleh Tuanku Sultan Johor tersebut yang berbeza dengan ketetapan kerajaan Persekutuan sungguhpun terlihat kecil sebenarnya adalah simbol pancaran bidang kuasa negeri dalam hal ehwal agama Islam dalam negara kita.

Lebih menarik pada 21 Disember 2020, Tuanku Sultan Johor dalam titahnya yang disiarkan di dalam banyak media tempatan berkaitan isu seorang anak Johor yang berkahwin dengan seorang warganegara India menyatakan bahawa di negeri Johor, agama Islam adalah paksi yang menjadi tiang seri kepada kehidupan yang diibaratkan seperti cahaya yang menerangi kehidupan rakyatnya yang diasaskan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.



* Datuk Ikbal Salam merupakan peguambela dan peguamcara di Tetuan Ikbal Salam & Associates, Johor Bahru

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI