MALAYSIA

Kuasai Bahasa Inggeris, jambatan menuju masa depan lebih cerah - Raja Puan Muda Kedah

Abd Hadi Che Awang 14/12/2025 | 11:01 MYT
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas Negeri Kedah. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Golongan muda yang menguasai Bahasa Inggeris berupaya untuk memperoleh akses kepada ilmu di peringkat global, peluang biasiswa antarabangsa serta kerjaya yang merentasi sempadan.


Ringkasan AI
  • Golongan muda perlu mahir Bahasa Inggeris untuk mendapat peluang global, akses ilmu, dan kerjaya merentasi sempadan.
  • Raja Puan Muda Kedah menekankan pentingnya Bahasa Inggeris dalam era digital untuk kejayaan dalam bidang sains dan teknologi.
  • Anak muda perlu terus memperkukuhkan Bahasa Malaysia sambil mahir Bahasa Inggeris sebagai aset bernilai untuk masa depan yang cemerlang.


Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bertitah bahawa golongan ini juga akan menyerlah dalam era digital di mana Bahasa Inggeris mendominasi bidang sains, teknologi dan inovasi.

"Bahasa bukan sekadar kata-kata, ia adalah wadah identiti, budaya, dan perpaduan kita, di Kedah, Bahasa Malaysia sentiasa menjadi nadi bangsa, bahasa yang menyatukan kita merentasi pelbagai latar belakang, ia wajar dipelihara dan dimuliakan,

"Walaupun ada pemimpin yang masih ragu-ragu untuk menerima bahasa Inggeris sepenuhnya, bimbang ia akan mencairkan identiti kebangsaan, anak-anak muda kita mesti menjadikan cabaran ini sebagai pendorong untuk bangkit lebih gagah.

"Mereka mesti membuktikan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di samping Bahasa Malaysia bukanlah pengkhianatan terhadap siapa kita, tetapi jambatan menuju masa depan yang lebih cerah," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini pada Ahad.

Tambah Che Puan Muda Zaheeda, keupayaan untuk bertutur dalam dua atau tiga bahasa akan menjadikan seseorang anak muda itu sebagai aset bernilai yang mampu berbicara dengan dunia sambil utuh berpijak kepada jiwa Malaysia.












#Raja Puan Muda Kedah #Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff #penguasaan Bahasa Inggeris #golongan muda