Kuasai dunia lelaki, 'Iron Lady' idola sepanjang zaman

Astro Awani
Oktober 4, 2017 12:23 MYT
Maznah menghembus nafas terakhir di IJN selepas dilaporkan mengalami komplikasi injap di bahagian jantung yang mengeras akibat kalsium yang berlebihan. - Gambar fail
Sosok bernama Datuk Maznah Hamid akan sentiasa segar di dalam jiwa dan pemikiran kaum Hawa yang berani untuk menjadi luar biasa.
Pemergian Allahyarham yang terkenal dengan gelaran 'Iron Lady' nyata meninggalkan kesan besar buat Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Datuk Sabrina Mohd Noor.
Selaku Adun termuda di Kedah, Sabrina mengakui kehandalan Allahyarham merentasi pelbagai bidang sentiasa mengingatkan beliau tentang satu realiti; kuasa seorang wanita adalah luar biasa.
"Allahyarham menjadi idola yang harus dikenang dan diabadikan dalam lipatan sejarah Malaysia.
"Kisah hidupnya untuk berjaya bukan alang-kepalang, Allahyarham menjadi bukti penguasaan wanita dalam bidang yang dikuasai lelaki secara total," kata beliau ketika dihubungi Astro Awani di sini hari ini.
BACA: Perginya Maznah Hamid, Iron Lady yang dikagumi
Pada masa yang sama, Adun Bandar Baharu berusia 38 tahun ini menyifatkan Allahyarham menjadi pencetus semangat untuknya tenang mengharungi cabaran bergelar ahli politik dan pentadbir.
Allahyarham Maznah mendapat jolokan 'Iron Lady' selepas kejayaan membina empayar perniagaan dalam bidang kawalan keselamatan sejak 1980.
#Bandar Baharu #belasungkawa #iron lady #Kedah #Maznah Hamid #Sabrina Mohd Noor