Skip to main content

Malaysia

Kubu Mat Kilau di Pasir Raja terbiar

DUNGUN, 18 Julai -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Shukor, Tengku Rosman Tengku Jaafar, 57, menunjukkan papan tanda Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja, hari ini.  Beliau berkata negara akan mengalami kerugian besar sekiranya tinggalan warisan sejarah itu dibiarkan rosak serta lenyap sehingga generasi akan datang tidak lagi berpeluang melihat bukti fizikal yang menjadi lambang perjuangan pahlawan Melayu dalam mempertahankan tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Shukor, Tengku Rosman Tengku Jaafar, 57, menunjukkan papan tanda Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

DUNGUN: Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja di sini kini dalam keadaan terbiar dan usaha pemuliharaan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan warisan sejarah pahlawan Melayu itu terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pasir Raja, Adnan Apil, 72, berkata penduduk bimbang kubu berkenaan akan terus lenyap sekiranya tiada tindakan diambil untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Beliau berkata pada masa ini, kubu yang dibina daripada timbunan tanah berkeluasan 14.6 meter lebar dan 17.2 meter panjang itu tidak lagi jelas kelihatan berikutan dilitupi semak samun tebal.

"Sayang sekali jika tinggalan sejarah yang begitu bernilai ini terus terbiar dan jika tiada usaha pemuliharaan dilakukan, kita bimbang struktur kubu ini akan rosak sedikit demi sedikit," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kedudukan kubu berkenaan yang terletak di pedalaman berhampiran sempadan negeri Pahang menyebabkan tinggalan sejarah itu kurang mendapat perhatian dari segi penyelenggaraan.

Pengerusi JPKKP Kampung Shukor, Tengku Rosman Tengku Jaafar, 57, berkata kubu berkenaan wajar dipelihara sebagai khazanah negara agar generasi muda dapat menghayati perjuangan Mat Kilau dalam menentang penjajah British pada akhir abad ke-19.

"Pada masa sama, kubu berkenaan berpotensi merancakkan sektor pelancongan sejarah di Dungun menerusi aktiviti Jejak Mat Kilau di laluan yang pernah dilalui pejuang berkenaan dari Kuala Lipis, Pahang dan Pasir Raja di sini ketika menentang British," katanya ketika ditemui Bernama di tapak Kubu Mat Kilau itu.

Selain itu, wakil pertubuhan Insaf Malaysia Terengganu Othman Omar berkata penglibatan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti amat penting dengan pelbagai program boleh dilaksanakan bagi menghidupkan semula kawasan berkenaan seperti gotong-royong membaik pulih kubu, program jejak warisan dan bicara sejarah.

"Pada masa sama kita berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap tapak ini supaya warisan perjuangan Mat Kilau terus kekal," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Rosli Wan Ngah berkata pihaknya bercadang membina semula Kubu Mat Kilau berdasarkan struktur asalnya.

Katanya, pada masa ini sebahagian besar struktur asal kubu berkenaan telah hilang akibat hakisan tanah serta kesan cuaca sehingga tinggal sisa struktur kubu setinggi antara 0.6 hingga satu meter sahaja.

"Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) tiga bulan lepas bagi membina semula kubu itu," katanya.

Wan Rosli berkata sempena sambutan Bulan Kebangsaan bulan depan, pihaknya bercadang menganjurkan gotong-royong membersihkan kawasan kubu berkenaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara khazanah sejarah negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement