Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kubur Syamsul Haris akan digali secepat mungkin - Saifuddin

Umavathi Ramayah 26/08/2025 | 09:42 MYT
Saifuddin (foto) berkata proses berkenaan melibatkan satu prosedur serius yang perlu melalui beberapa peringkat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, secepat mungkin bagi menjalankan bedah siasat kedua susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Selasa.


Ringkasan AI
  • PDRM akan menggali semula kubur Syamsul Haris Shamsudin untuk bedah siasat kedua susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
  • Proses ini melibatkan majistret, pasukan perubatan, pegawai penyiasat dan pakar patologi, bagi mengenal pasti punca sebenar kematian ketika latihan PALAPES UTM.
  • Ibu mangsa menuntut inkues selepas mendakwa terdapat kesan lebam dan kecederaan fizikal yang meragukan, bukan akibat serangan sawan seperti didakwa.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, proses berkenaan melibatkan satu prosedur serius yang perlu melalui beberapa peringkat.

“Proses ini melibatkan majistret, pasukan perubatan, pegawai penyiasat serta pakar patologi yang akan menjalankan tugas mereka selepas mayat dikeluarkan untuk dibawa ke hospital. Peranan polis adalah untuk memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan.

“Seperti kes adik Zara (Zara Qairina Mahathir) sebelum ini, apabila keputusan dibuat, polis segera memfasilitasi proses itu mengikut arahan yang diterima, malah dalam masa beberapa jam sahaja ia dapat diselesaikan,” jelas Saifuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Khas PDRM 2025, di sini, pada Selasa.

Pada 28 Julai lalu, Syamsul Haris meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Penuntut semester dua, Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan PALAPES UTM bermula 26 Julai lepas.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, pada keesokan harinya.

Pada 19 Ogos lalu, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan di mahkamah menuntut bedah siasat kali kedua dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Ummu Haiman Bee mendakwa pada tubuh anaknya terdapat kesan lebam dan kecederaan seperti perbuatan secara fizikal dan bukan kecederaan akibat serangan sawan.







#bedah siasat #gali semula kubur #Syamsul Haris Shamsudin #arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam