MALAYSIA

Kubur Zara Qairina akan digali semula secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan - Saifuddin

Astro Awani 09/08/2025 | 03:10 MYT
Saifuddin berkata polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan. - Foto fail/Astro AWANI
MACHANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1 itu dilengkapkan secara menyeluruh.

Langkah tersebut dibuat susulan arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendapati terdapat keperluan untuk menjalankan prosedur bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina, yang sebelum ini dikebumikan tanpa sebarang pemeriksaan forensik.

"Memandangkan kita baru menerima arahan, jadi pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin.

"Sudah tentu kita akan fokus untuk mengemaskini siasatan selain mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu beliau hadir pada Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang di sini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I.

Kematian tragis itu dikaitkan dengan dakwaan insiden buli, namun siasatan awal didakwa tidak lengkap oleh pihak keluarga dan peguam yang mewakili mereka.

Ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, meluahkan rasa kesal apabila pengebumian anaknya dilakukan tanpa bedah siasat, dan telah mengarahkan peguam untuk menguruskan proses penggalian semula bagi tujuan inkues dan siasatan lanjut.

Menurut kenyataan AGC, laporan siasatan awal yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikembalikan bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat dan bukti tambahan yang mungkin penting dalam menentukan punca sebenar kematian remaja tersebut.

Saifuddin Nasution menegaskan bahawa pihak berkuasa akan bertindak segera dan profesional dalam melaksanakan arahan tersebut, sambil menyeru agar masyarakat menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Kes ini telah menarik perhatian ramai, khususnya dalam isu keselamatan pelajar di asrama dan keperluan siasatan menyeluruh dalam kes kematian yang mencurigakan.

Peguam keluarga Zara Qairina turut mendakwa bahawa kertas siasatan awal yang dihantar ke AGC sebelum ini adalah lemah dan tidak lengkap.

Dengan penggalian semula yang bakal dilakukan, keluarga Allahyarham berharap agar kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat diberikan kepada anak mereka.








#Zara Qairina Mahathir #gali semula kubur #Saifuddin Nasution #PDRM