[TERKINI] Peguam Negara Arah Kubur Zara Qairina Digali Semula – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Kubur Zara Qairina perlu digali semula – Peguam Negara

Astro Awani 08/08/2025 | 12:00 MYT
AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan, dalam usaha melengkapkan siasatan berhubung kematian kanak-kanak tersebut.

AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah meneliti laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan berpandangan siasatan lanjut perlu dijalankan secara lebih menyeluruh.

"Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah.

"Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, peguam yang mewakili ibu kepada Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menegaskan, kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu digali semula dengan segera supaya bedah siasat dapat dibuat untuk menentukan punca sebenar kematian.

#Jabatan Peguam Negara #bedah siasat #PDRM #punca sebenar