Kuching diiktiraf Bandar Kraf Dunia

Rohana Wahed
Mac 16, 2019 05:24 MYT
Masjid Terapung yang terletak di tebingan Sungai Sarawak merupakan tarikan terbaharu di bandaraya ini selepas Jambatan Darul Hana.
Sarawak melakar sejarahnya tersendiri apabila bandar raya Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia (WCC).
Lebih membanggakan ia menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij terbaik dalam bidang kraf, seni dan budaya.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia merupakan pengiktirafan besar bagi Sarawak sekali gus negeri ini sebagai destinasi popular dengan keunikan kraf dan seni reka.
Pengiktirafan itu katanya akan turut menyumbang kepada Kempen Melawat Sarawak 2019 untuk menarik kehadiran pelancong.
"Kita perlu memiliki sebuah pusat kraf di Kuching dan ini merupakan satu keutamaan.
"Saya akan mengutarakan perkara ini kepada Ketua Menteri yang mana kita memerlukan sebuah pusat kraf yang lebih besar di Kuching. Ia membolehkan pereka kraf tangan boleh mempamerkan hasil kreativiti mereka," katanya pada sidang media di Kuching pada Sabtu.
Beliau berhasrat untuk menjadikan bandar raya Kuching sebagai Pusat Kraf Antarabangsa dan ia katanya merupakan suatu keperluan dan impian terutama dalam menjayakan kempen melawat Sarawak.
#Bandar Kraf Dunia #Kempen Melawat Sarawak 2019 #Kraf #Kuching diiktiraf Bandar Kraf Dunia #Majlis Kraf Dunia #pelancongan #Seni Reka #WCC