MELAKA: Perkhidmatan pengangkutan awam "Bus On Demand" yang dikenali sebagai Kumpool Kasturi dilihat mampu mengurangkan hingga 40 peratus kenderaan persendirian di jalan raya di negeri ini pada waktu puncak dan hujung minggu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata dengan empat bas coaster dan dua van yang disediakan mengikut zon, ia diharap menjadi antara langkah terbaik bagi penyuraian trafik di Melaka.

Beliau berkata terdapat 128 "point" atau tempat hentian dengan setiap bas coaster mampu memuatkan 18 orang manakala van sebanyak 12 penumpang serta akan bergerak mengikut zon dalam radius antara tujuh kilometer (km) dan 10km.

"Kita sasarkan setiap pagi sekurang-kurangnya 500 orang yang pergi kerja, pelajar atau ibu bapa yang hendak hantar anak ke sekolah guna perkhidmatan ini manakala pelancong yang datang bercuti, tak perlu lagi memandu.

"Mereka boleh tinggalkan kenderaan di hotel dan bergerak menggunaan perkhidmatan ini. Ia lebih selesa terutama mereka yang melancong bersama keluarga atau secara kumpulan," katanya pada sidang media selepas program Promosi Menaiki Coaster 'Kumpool Kasturi' di sini malam tadi.

Menurut Hameed Mytheen percubaan perkhidmatan itu dijalankan selama sebulan bermula 16 Sept lepas melibatkan Zon Bandaraya dan akan ditambah kepada tiga zon lagi iaitu Ayer Keroh, Batu Berendam dan Telok Mas.

"Kita sudah mendapat kebenaran daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi pertambahan zon tersebut. Jadi ia akan memudahkan masyarakat terutama yang hendak mendapatkan perkhidmatan ke Hospital Melaka dan pada masa yang sama, kita ada 'point' ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka untuk pelancong yang datang menggunakan laluan laut.

"Sudah tentu ada 'point' di kawasan Bangunan Merah kerana bas sukar masuk atau ketika waktu Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan tersebut akan ditambah ke kawasan lain seperti Duyong, Alor Gajah, Jasin, Merlimau serta Pulau Sebang dan pertambahan tersebut adalah sejajar dengan persediaan kerajaan negeri menganjurkan Tahun Melawat Melaka 2024.

"Kita bersedia untuk 18 juta pelancong dan mereka boleh muat turun aplikasi Kumpool ini dan menggunakan perkhidmatannya sepanjang bercuti di Melaka," katanya.

-- BERNAMA