KUALA LUMPUR: Kumpulan terakhir 284 jemaah haji Malaysia selamat pulang ke tanah air pada Sabtu, menandakan berakhirnya Operasi Musim Haji 1443H/2022M.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar berkata kumpulan jemaah itu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 1.30 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8351), yang berlepas dari Madinah pada 11.10 malam (waktu Arab Saudi) Jumaat.

“Alhamdulillah, secara keseluruhannya, kami amat bersyukur operasi haji kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini walaupun dalam keadaan endemik COVID-19.

"Selain itu, keadaan cuaca juga agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah Celcius.

“Kesemua 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas TH telah selamat pulang ke tanah air menerusi 49 penerbangan haji Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bermula 17 Julai sehingga 13 Ogos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan TH pada Sabtu.

Selain itu, Azman berkata pengurusan haji negara juga diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik dan jemaah haji turut menerima pujian atas disiplin, pengetahuan dan tumpuan sepanjang melaksanakan ibadah itu.

Ketibaan kumpulan tersebut disambut oleh Azman bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH  Datuk  Seri Amrin Awaluddin serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Amrin berkata TH akan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji dan persiapan awal operasi musim haji tahun hadapan (1444H/2023M) akan dilaksanakan segera berdasarkan penilaian operasi tahun ini.

Katanya TH pada awal tahun ini, telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah haji Muassasah sebanyak RM25,540 seorang, namun kos haji sebenar telah meningkat kepada RM28,632 bagi seorang jemaah haji Muassasah.

“Antara faktor kenaikan kos yang di luar kawalan TH ini adalah peningkatan kos bagi perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada, caj tambahan bagi kemudahan baru yang diberikan semasa Masyair termasuklah fasiliti yang disediakan di khemah-khemah Arafah dan Mina, seperti kemudahan khemah dan tandas, sajian serta penggunaan bas baru di Arab Saudi.

“Dengan peningkatan kos haji tahun ini, jemaah haji Muassasah kategori B40 menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM17,652 seorang (62 peratus daripada kos haji), manakala jemaah haji Muassasah bukan B40 menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM15,652 seorang (55 peratus daripada kos haji),” katanya.

Menurutnya bayaran haji untuk jemaah Muassasah B40 adalah sebanyak RM10,980, manakala bukan B40 adalah sejumlah RM12,980 seorang.

Beliau berkata bagi musim haji tahun 1443H/2022M, jumlah keseluruhan Bantuan Kewangan Haji adalah sebanyak RM185.7 juta dan TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun hadapan melalui pendekatan secara bersasar, bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang memerlukan.

Dalam kenyataan sama,  TH turut menyatakan penghargaan atas  kesudian Kerajaan Arab Saudi memilih Malaysia dalam  menjayakan Program Pra-Perlepasan Imigresen atau dikenali sebagai ‘Makkah Route’ bagi memudahkan perjalanan jemaah haji.

“TH juga amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan Diraja Arab Saudi (Kuala Lumpur), Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, serta pelbagai agensi lain dalam menjayakan operasi haji tahun ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA