KUALA LUMPUR : Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari negara itu pada Sabtu selepas terkandas di Ukraine dijadual berlepas dari Warsaw ke tanah air pada Isnin dengan penerbangan komersil. 

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, selain dua pegawai kedutaan, mereka terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia serta dua warga asing tanggungan kepada dua warganegara Malaysia dan seorang warga Singapura.

"Misi itu berjaya dilaksanakan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev melalui dua pegawai kedutaan, iaitu Kuasa Usaha Sementara, Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Aminuddin Osman.

"Kumpulan itu meninggalkan Kiev melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan ketibaan mereka di sempadan Poland pada 26 Februari dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw," kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine dalam tempoh 14 hingga 24 Februari atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev susulan kenyataan media Kementerian Luar Negeri pada 14 Februari 2022.

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah melaksanakan misi-misi evakuasi warganegara Malaysia dari negara-negara asing, sama ada negara yang berdepan konflik atau bencana alam.

Misi evakuasi atau repatriasi juga telah dilaksanakan bagi membawa pulang atau memudahcara kepulangan rakyat Malaysia dari 99 buah negara semasa pandemik COVID-19.

Misi-misi seumpana itu dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta kementerian/agensi berkaitan di Malaysia.

"Kementerian Luar Negeri mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi evakuasi dari Ukraine, terutamanya Fadhilah Daud dan Aminuddin Osman di Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Kementerian seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan misi tersebut. Ini jelas menggambarkan semangat solidariti serta keperihatinan Keluarga Malaysia," tambah kenyataan itu.