Kumpulan kedua angkasawan dijangka ke ISS menjelang 2016

Astro Awani
September 18, 2013 08:06 MYT
Malaysia dijangka menghantar kumpulan kedua angkasawan negara bagi melakukan pelbagai penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjelang 2016.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, agensi di bawah kementeriannya giat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara bagi menentukan misi utama penghantaran angkasawan kedua negara itu.
Menurut Abu Bakar, kementeriannya masih dalam fasa perancangan dan pelbagai perkara sedang dikaji termasuk cadangan menghantar dua angkasawan ke ISS dalam program itu.
Selain itu, kementeriannya juga melihat kepada penyelidikan yang memberi keuntungan kepada negara untuk dijalankan di ISS.
Jelasnya semua perkara berkenaan perlu di teliti terlebih dahulu kerana melibatkan peruntukan yang besar dan apabila di putuskan cadangan akan di bawa ke kabinet.
Tambahnya selain program angkasawan, Malaysia juga sedang giat melaksanakan program penghantaran satelit dan akan menghantar mikrosatelit Tiungsat bagi pemantauan muka bumi awal tahun depan.
Pada 10 Oktober 2007 Malaysia buat julung kalinya menghantar angkasawan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS dan menjalankan pelbagai penyelidikan hasil kerjasama dengan Rusia.
#Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor #kumpulan kedua angkasawan negara #Stesen Angkasa Antarabangsa