SEPANG: Seramai 84 petugas haji kumpulan kedua berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi melaksanakan persediaan operasi haji 2022.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, kumpulan tersebut terdiri daripada sektor kebajikan dan kesihatan akan ditugaskan di Madinah.

"Pada hari ini kita menyaksikan perlepasan kedua iaitu seramai 84 orang. Sebelum ini seramai 13 orang telah berangkat ke Tanah Suci dan sedang berada di Mekah dan Madinah.

"Kumpulan ini sebahagiannya akan bertugas di Madinah dan buat persiapan untuk menerima kumpulan jemaah haji pertama yang akan sampai di Madinah pada 4 Jun ini.

"Saya dapati bahawa semua petugas telah bersiap sedia dan akan membuat persiapan serapi mungkin untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan bagi para jemaah haji Malaysia tahun ini," jelasnya.



Tambah Syed Saleh, meskipun jumlah petugas haji bagi musim ini dikurangkan, namun ia tidak memberi kesan kepada pengoperasian dan perkhidmatan buat jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

"Jumlah petugas sebelum ini hampir 650 orang, tetapi tahun ini dikurangkan kepada 340 orang sahaja. Walau bagaimanapun, kita dapati dengan jumlah ini boleh lagi kita laksanakan tanggungjawab kita terhadap para jemaah haji di Malaysia.

"Kita telah membuat perancangan tertentu, antaranya membawa lebih ramai petugas berpengalaman dan petugas yang boleh bertugas di mana-mana sektor termasuk di Mekah, Madinah, Jeddah dan sebagainya.

"Dengan itu, (setiap petugas) ada multi-tasking dan fleksibiliti untuk kita gerakkan petugas mengikut keperluan semasa," katanya lagi.

Dalam pada itu tambah Syed Saleh, dua lagi kumpulan petugas haji TH akan berlepas pada 2 dan 5 Jun depan, manakala sebahagian lagi akan mengikut penerbangan bersama jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melepaskan kumpulan kedua petugas haji TH di Hotel Movenpick and Convention Centre, Sepang pada Isnin.