IPOH: Polis berjaya memberkas empat suspek, yang dipercayai anggota ‘Geng Jiva’, kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki kerana terlibat dalam kes samun bersenjata, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan di sekitar bandar raya ini.

Hasil siasatan awal, polis percaya dengan penahanan kesemua suspek, sekurang-kurangnya 24 kes jenayah kekerasan dan 34 kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh, khususnya di Taman Canning, Taman Ipoh Timor dan Bercham, berjaya diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, berumur antara 26 dan 35 tahun, diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas di sini, kira-kira jam 5.45 petang Selasa.

Menurutnya, kesemua suspek warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan dengan senjata di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya telah melumpuhkan Geng Jiva yang dipercayai aktif menyamun di beberapa taman perumahan, selepas memberkas empat suspek, termasuk ketua kumpulan, yang dikehendaki pihak polis. 

“Pasukan serbuan turut merampas barang kes termasuk pisau, motosikal dan telefon bimbit yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Yahaya berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.

“Di samping itu, pihak polis juga berjaya memperolehi perintah reman ke atas kesemua suspek antara satu hingga empat hari untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes-kes terlibat dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek.