NATIONAL
Kumpulan Sunway bakal ubah ‘landskap’ Bandar Seremban

Projek ini bakal dibangunkan dengan pelbagai pembangunan baharu meliputi kediaman pelbagai segmen, pusat perniagaan, pusat perubatan, komersial dan pengangkutan awam bersepadu. - Foto Sunway
SEREMBAN: Sunway secara rasmi dipilih sebagai pemaju utama Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Seremban Sentral di atas tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) seluas 8.5hektar dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM 2 bilion.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan melalui kaedah Request for Proposal (RFP) yang kompetitif itu dibuat selepas mengambil kira konsep ditawarkan syarikat berkenaan bakal membawa nafas baharu kepada bandar raya itu.
“Konsep yang mereka bawa ini adalah yang terbaik kerana ia meliputi pelbagai komponen termasuk perubatan, pendidikan, komersial dan juga perumahan.
“Seperti mana yang kita hasratkan, kita mahu stesen-stesen kereta api ini menjadi nadi pusat pembangunan kerana jika ada stesen kereta api tetapi tidak ada komponen pembangunan lain, maka ia tidak akan berjaya,” katanya.Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian pembangunan tersebut antara RAC dan Kumpulan Sunway di Hotel Royale Chulan Seremban.
Perjanjian itu ditandatangani oleh RAC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min.
Turut hadir, Pengasas merangkap Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Seremban Sentral yang akan dibangunkan berhampiran dengan Stesen Keretapi Seremban sedia ada akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Seremban yang baharu yang akan dibina di bawah projek Klang Valley Double Track 2.
Projek ini bakal dibangunkan dengan pelbagai pembangunan baharu meliputi kediaman pelbagai segmen, pusat perniagaan, pusat perubatan, komersial dan pengangkutan awam bersepadu.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pembangunan Seremban Sentral itu bukan sahaja satu inisiatif berwawasan daripada segi perancangan bandar, tetapi juga bakal memberi manfaat sosio ekonomi yang besar dan nyata kepada rakyat
“Kesemua impak ini jelas menunjukkan bahawa Seremban Sentral bukan hanya projek pembangunan fizikal, tetapi satu ekosistem ekonomi baharu yang bakal mengubah wajah Seremban.
“Ini adalah bukti bahawa kemajuan dan pembangunan boleh berjalan seiring dengan elemen sejarah dan warisan, dan Seremban bersedia untuk memimpin gelombang pembangunan baharu berteraskan pengangkutan awam dan komuniti,” tambahnya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seremban, agensi-agensi teknikal, pelabur dan pemaju supaya dapat bekerjasama secara rapat dan berterusan demi menjayakan visi ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami