MALAYSIA

Kunjungan keluarga diraja Terengganu ubati kesedihan mangsa banjir di PPS

Bernama 01/12/2025 | 08:15 MYT
Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail (dua kanan) bersama adinda baginda Tengku Muhammad Mua'az (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Kesedihan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol di sini terubat dengan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli bersama dua adinda baginda hari ini.


Ringkasan AI
  • Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menziarahi mangsa banjir di PPS SK Atas Tol Kuala Terengganu bersama keluarga diraja, memberikan sumbangan makanan, keperluan asas, dan bantuan kewangan kepada mangsa yang terjejas.
  • Seorang mangsa OKU, Noraini Mohd Yasin, 50 tahun, masih kekal di PPS tersebut kerana rumahnya masih digenangi air, manakala Lamah Abdullah, 69 tahun, mengalami banjir terburuk dalam pengalaman hidupnya.
  • Banjir telah menyebabkan kesusahan kepada penduduk setempat, dengan beberapa mangsa seperti Noraini dan Lamah terpaksa tinggal di PPS untuk tempoh yang tidak pasti, sementara menunggu air surut di kawasan banjir.


Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra berangkat tiba di PPS berkenaan pada 10.18 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS itu.

Selain bertanyakan khabar dan berbual mesra dengan mangsa, keluarga diraja turut berkenan menyampaikan sumbangan makanan, keperluan asas, serta bantuan kewangan kurniaan pihak Istana Terengganu kepada mangsa.

Turut mengiringi anakanda-anakanda Sultan Terengganu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali.

Selain mengunjungi mangsa banjir di Kuala Terengganu termasuk di PPS SK Atas Tol yang setakat tengahari tadi menempatkan 57 mangsa daripada 40 keluarga, putera dan puteri diraja itu juga berkenan menziarahi mangsa banjir di dua lagi daerah, iaitu di Marang di PPS SK Simpang Rawai dan Kuala Nerus antaranya di PPS SK Bukit Guntung.

Sementara itu, seorang mangsa orang kurang upaya (OKU) Noraini Mohd Yasin,50, berkata meskipun cuaca panas terik sejak semalam, dia masih kekal di PPS berkenaan untuk tempoh satu atau dua hari lagi, kerana jalan masuk ke rumahnya di Kampung Kolam Atas Tol masih digenangi air.

"Pada Jumaat lepas, rumah saya dinaiki air sedalam satu meter hingga menyebabkan saya terpaksa tinggal di PPS ini. Namun hari ini di dalam rumah sudah tiada air tetapi jalan ke rumah pula masih banjir. Mungkin sebab kampung saya itu terletak di kawasan lembah sungai jadi air lambat surut," katanya yang berkerusi roda sejak 16 tahun lepas akibat kanser saraf.

Dalam pada itu Lamah Abdullah,69, yang tinggal di Kampung Titian Baru di sini berkata dia sudah lali menghadapi banjir sejak kecil lagi.

Namun katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk dialaminya apabila air naik ke dalam rumah hingga paras pinggang menyebabkan dia tidak dapat menyelamatkan sebahagian besar barangan dan perabot.

"Rumah makcik pula kalau banjir memang air 'termenung'. Paling kurang seminggu jugalah air akan surut. Jadi mungkin lama lagi makcik di sini (PPS)," katanya yang berpindah ke PPS tersebut sejak Sabtu lepas.

-- BERNAMA






#banjir terengganu #Yang Dipertuan Muda Terengganu #pusat pemindahan #mangsa banjir