[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kunjungan Trump medan diplomasi tegaskan pendirian Malaysia berhubung Palestin - IKIM

Bernama 01/10/2025 | 14:00 MYT
Dr Mohamed Azam berkata kehadiran Trump tidak boleh ditafsir sebagai persetujuan terhadap dasar luar AS yang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 wajar memanfaatkan kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN sebagai medan diplomasi untuk menegaskan pendirian negara berhubung Palestin, isu genosid etnik serta keperluan keadilan sejagat.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kehadiran Trump tidak boleh ditafsir sebagai persetujuan terhadap dasar luar AS yang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

"Dalam ruang dialog rasmi, Malaysia berpeluang menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penindasan etnik, di samping mencadangkan penubuhan mekanisme bersama AS-Malaysia untuk memantau hak asasi di kawasan konflik dan menyokong penyiasatan bebas antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azam menyokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil yang menyatakan penolakan terhadap kunjungan Trump ke Malaysia adalah bertentangan dengan Maqasid al-Syariah.

"Dalam kerangka syariah, maslahah yang lebih besar dapat dicapai apabila pintu dialog dibuka dengan akal yang tenang dan hujah yang jelas demi memelihara keamanan dan menegakkan maruah insani," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azam berkata IKIM berpandangan sebarang kerjasama atau bantuan daripada Amerika Syarikat wajar diikat dengan syarat pematuhan terhadap prinsip hak asasi, larangan menyalurkan sokongan kepada pihak yang menggerakkan perang atau genosid serta penyertaan dalam usaha pemulihan pascakonflik.

Beliau berkata kunjungan itu memberi ruang kepada Malaysia untuk menunjukkan kebijaksanaan diplomasi yang halus tetapi berprinsip, beradab tetapi berani serta lembut pada bahasa namun tegas pada makna.

Jika kesempatan ini dimanfaatkan dengan baik, Malaysia bukan sahaja memperlihatkan kedaulatan negara di mata dunia bahkan mampu mengangkat kepimpinan moral ASEAN untuk memperjuangkan suara umat sejagat.

-- BERNAMA


#Donald Trump #ASEAN #kepimpinan moral #IKIM