JASIN: Dasar penetapan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat keputusan tidak lagi boleh dihadkan dan perlu dimansuh.



Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini memandangkan ketika ini ramai golongan wanita mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tinggi sekali gus menjadi penggubal dasar negara.



“Kita tidak perlu meletakkan siling (had kuota) lagi (untuk) 30 peratus itu dan kalau dalam sektor awam sekarang kita dah sampai 42 peratus (penglibatan wanita.



“Jadi kalau kita hendak letak (sasaran) 50 peratus pun, kita tidak sepatutnya lagi meletakkan had yang mana penglibatan ini perlu bergerak secara bebas dan tidak perlu disekat lagi,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pada Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita (LaWa), di sini hari ini.



Sebelum ini bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, mengeluarkan pandangan bahawa wanita tidak sepatutnya diibaratkan sebagai 'kekabu untuk memenuhkan ruang dijadikan bantal' dengan penetapan dasar kuota 30 peratus.



Katanya, dasar wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat dilihat sebagai tindakan merugikan memandangkan ramai wanita layak mengisi jawatan penting tetapi peratusan had itu menghalang potensi golongan terbabit memegang jawatan tinggi.



Rafidah berkata, meskipun 30 peratus itu hanya sebagai asas dan jumlahnya boleh ditambah, masih ada syarikat menggunakan alasan itu untuk tidak melantik wanita berkelayakan.



Mengulas lanjut Nancy berkata, beliau bersetuju dengan pandangan berkenaan memandangkan ramai wanita mempunyai kelayakan dari segi akademik dan pengalaman yang melayakkan mereka untuk diangkat ke peringkat tertinggi.



“Mungkin maksud beliau jangan kita berhenti kepada 30 peratus sahaja, kita mempunyai ramai wanita yang layak naik ke atas sana untuk jadi pembuat keputusan.



“Kalau zaman ini saya bersama Tan Sri Rafidah saya bersetuju, beliau telah melatih ramai wanita dan ramai lagi boleh dibawa untuk membantu (kerajaan),” tambahnya.



Dalam pada itu, Nancy berkata,  kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh menunjukkan peningkatan daripada 55.3 peratus pada tahun 2020 kepada 55.5 pada tahun 2021 dan 55.9 peratus pada tahun 2023.


Katanya, peningkatan penyertaan itu dijangka terus berlaku apabila persekitaran yang kondusif dan mesra wanita disediakan kepada mereka.