[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kuota BUDI95 diperbaharui hari ini - Fahmi

Bernama 01/10/2025 | 10:15 MYT
Kuota 300 liter bagi subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), diperbaharui hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan kuota 300 liter bagi subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), diperbaharui hari ini.


Ringkasan AI
  • Kuota 300 liter subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diperbaharui hari ini, selaras dengan pembaharuan kuota pada hari pertama setiap bulan.
  • Kerajaan sedang meneliti penambahan kuota untuk pemandu e-hailing, p-hailing, teksi dan bot nelayan, serta mekanisme khas bagi rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura.
  • BUDI95 kini dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan anggota ATM dan PDRM, kemudian diperluas kepada penerima STR B40, dengan harga subsidi RON95 kekal RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM2.60.


Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata perkara tersebut selaras dengan pembaharuan kuota BUDI95 pada hari pertama setiap bulan.

"Hari ini 1 Okt, maka jumlah kuota dikembalikan kepada 300 liter. Jadi sesiapa yang telah membeli RON95 menggunakan BUDI95 semalam, hari ini kuota kembali kepada jumlah 300 liter," katanya pada sidang media Pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi, Kementerian Kewangan serta syarikat pengendali stesen minyak, akan mengeluarkan kenyataan sekiranya terdapat sebarang maklumat tidak betul atau kekeliruan mengenai program subsidi tersebut dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat hari ini turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk segera meneliti beberapa perkara berhubung BUDI95, termasuk penambahan kuota bagi pemandu e-hailing, p-hailing, teksi serta bot nelayan.

"Selain itu, mengenai pemandu ataupun rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu Singapura, maka akan ada satu mekanisme yang khusus untuk membantu mereka mendapat bantuan subsidi BUDI95," katanya.

Fahmi berkata Kementerian Kewangan dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung status terkini pelaksanaan BUDI95, petang ini.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad.

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt ini.

-- BERNAMA





#BUDI95 #kuota diperbaharui #Fahmi Fadzil #hari pertama setiap bulan #terkini