Skip to main content

Malaysia

Kuota haji 1447H/2026M penuh, rayuan ditutup

61755999181_mustakimmohamad.jpg
Mustakim berkata, kadar penangguhan kali ini jauh lebih rendah, iaitu sekitar 18 peratus berbanding kira-kira 50 peratus pada musim haji sebelumnya.

KUALA LUMPUR: Keseluruhan kuota haji negara bagi musim 1447H/2026M sebanyak 31,600 orang telah dipenuhi dan permohonan rayuan ditutup secara rasmi esok.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad, berkata proses tawaran kali ini berjalan dengan teratur dan lebih lancar.

Advertisement

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai hasil beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan, seperti memberi peringatan awal kepada bakal jemaah agar membuat persiapan lebih rapi.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan secara tidak langsung membantu mengurangkan jumlah jemaah yang menangguhkan perjalanan, sekali gus memastikan pengisian kuota dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Tahun ini kita melihat kadar penangguhan yang jauh lebih rendah, iaitu sekitar 18 peratus berbanding kira-kira 50 peratus pada musim haji sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mustakim berkata, berikutan jumlah rayuan yang tinggi mencecah 85,000 permohonan, pihaknya telah  menetapkan tarikh tutup permohonan rayuan berkenaan pada 1 Ramadan.

“Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan akan ditutup mulai 1 Ramadan 1447H.

“Semua permohonan rayuan yang telah diterima sebelum tarikh tersebut akan kekal dipertimbangkan oleh TH,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kekosongan pada saat akhir susulan penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat berdasarkan senarai rayuan sedia ada.

“Pemilihan akan dilakukan mengikut merit serta kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan keadilan kepada semua pemohon,” katanya.

Mustakim berkata, Malaysia diperuntukkan kuota tahunan seramai 31,600 jemaah haji, termasuk bagi musim haji tahun ini.

Mengulas persiapan perjalanan, beliau berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula pada 18 April ini.

Penerbangan terakhir pula dijangka berlepas pada 20 Mei, manakala hari wukuf dijangka pada 26 Mei.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua bakal jemaah atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses tawaran haji berlangsung.

“TH mendoakan agar segala usaha dan kesungguhan bakal jemaah ini mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT,” katanya.
 

Must Watch Video