Kuota Haji: Belum ada keputusan dari Arab Saudi - Mujahid

Harits Asyraf Hasnan
Julai 1, 2019 05:26 MYT
Kerajaan masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kouta tambahan, kata Mujahid Yusof Rawa. - Gambar fail
Kerajaan Malaysia masih belum menerima sebarang keputusan daripada Arab Saudi berhubung permohonan tambahan kuota haji bagi musim ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya masih menunggu sama ada permohonan itu diluluskan atau sebaliknya.
“Tiada apa-apa keputusan kuota tambahan haji daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya ringkas kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat memaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyerahkan surat rasmi kepada Kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi bakal jemaah haji Malaysia.
Jelasnya, sekiranya Malaysia gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah yang lain.
Setakat ini kuota bagi jemaah haji Malaysia kekal seramai 30,200 orang.
#Belum ada keputusan dari Arab Saudi #kuota haji #Mahathir Mohamad #Mujahid Yusof Rawa #Perdana Menteri #Tabung Haji