Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kupang Port Dickson belum selamat dimakan, sampel ketiga diambil

Bernama 15/08/2025 | 08:50 MYT
Orang ramai diingatkan agar tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan buat sementara waktu susulan fenomena yang dipercayai ledakan alga di kawasan tersebut. - Gambar/ Bernama
SEREMBAN: Ujian makmal bagi sampel kedua yang dilakukan Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) Selasa lepas terhadap kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson mendapati bacaan biotoksin masih melebihi 800 per bilion (ppb).


Ringkasan AI
  • Ujian makmal kedua oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati bacaan biotoksin dalam kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson masih melebihi 800 ppb, menjadikannya tidak selamat untuk dimakan.
  • Sampel diambil dari dua lokasi iaitu Kampung Teluk dan Sungai Sekawang, dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan terus memantau serta mengambil sampel setiap minggu sehingga paras biotoksin berada di tahap selamat.
  • Orang ramai diingatkan agar tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan buat sementara waktu susulan fenomena yang dipercayai ledakan alga di kawasan tersebut.


Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Kasim Tawe berkata justeru makanan laut itu masih tidak selamat kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan dan larangan memakannya masih dikuatkuasakan.

"Untuk sampel yang kita ambil Selasa lepas di dua lokasi iaitu di perairan Kampung Teluk dan Sungai Sekawang mendapati bacaan biotoksin masih melebihi had. Sampel ketiga akan diambil pada minggu depan.

"Berikutan keputusan sampel kedua masih melebihi paras yang dibenarkan, JPNS akan mengambil sampel dan memantau keadaan setiap minggu hingga keputusan paras biotoksin rendah daripada paras yang dibenarkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan di perairan itu untuk sementara waktu.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang mendakwa mengesan fenomena yang dipercayai ledakan alga di Perairan Pasir Panjang serta mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.

-- BERNAMA



#Kupang #Port Dickson #ledakan alga #kupang beracun