[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kurang pasti tentang kecederaan berjalur kod bar, tumpuan untuk selamat Zara Qairina - Saksi

Bernama 09/09/2025 | 07:40 MYT
Dr Janefer Voo mengesahkan tiada kecederaan berbentuk jalur selari atau 'barcode injuries' ditemui pada tubuh Zara Qairina semasa pemeriksaan awal. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Pegawai perubatan yang pertama memeriksa Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, beliau tidak melihat sebarang kecederaan berbentuk jalur selari seperti kod bar atau 'barcode injuries' pada tubuh pelajar Tingkatan Satu itu.


Ringkasan AI
  • Dr Janefer Voo mengesahkan tiada kecederaan berbentuk jalur selari atau 'barcode injuries' ditemui pada tubuh Zara Qairina semasa pemeriksaan awal.
  • Pemeriksaan awal hanya menunjukkan kelainan pada tangan kiri yang disahkan sebagai patah tertutup dan dipasang pendakap.
  • Tiada rekod atau pemerhatian khusus mengenai kecederaan berbentuk kod bar dalam laporan perubatan yang disediakan.


Dr Janefer Voo, 32, yang berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini menyatakan perkara itu sebagai maklum balas kepada soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja yang terlibat dalam kes buli si mati.

Ram: Doktor, adakah anda menemukan sebarang kecederaan berbentuk kod bar pada tubuhnya (Zara Qairina)? Adakah anda melihat apa-apa?

Dr Voo menjawab "Tidak, saya tidak menyedari sebarang kecederaan sedemikian.

Ram: Awak tidak menyedarinya atau awak memang tidak memeriksanya?

Dr Voo: Apabila pesakit tiba, kami melakukan pemeriksaan segera pada tangan dan lengan. Kami mendapati ada kelainan pada tangan kiri, yang kemudiannya dipasang pendakap. Pada masa itu, diagnosis awal ialah patah tertutup. Tiada apa-apa yang direkodkan mengenai kecederaan berbentuk jalur seperti kod bar.

Ram: Apabila anda menanggalkan pakaian Zara Qairina, anda pasti periksa seluruh badannya untuk meneliti kecederaan dari kepala hingga ke kaki, depan dan belakang. Betul?

Dr Voo menjawab: "Ya, namun keutamaan kami adalah mengenal pasti kecederaan yang mengancam nyawa".

Berkongsikan pengalaman beliau berkhidmat selama lima tahun di Jabatan Kecemasan dan Trauma, saksi ketiga berkenaan memberi keterangan bahawa kebanyakan pesakit yang mengalami kecederaan berjalur seperti kod bar merupakan golongan remaja atau lingkungan awal 20-an, dan kecederaan seumpama itu lazimnya berkaitan dengan perbuatan mencederakan diri sendiri.

Doktor berkenaan turut menjelaskan kecederaan terbabit boleh disebabkan oleh objek tajam dan coraknya akan kelihatan seperti kod bar.

Menjawab soalan lain, Dr Voo berkata beliau tidak pasti apa yang berlaku pada pakaian si mati selepas ia ditanggalkan kerana kebiasaannya barang-barang milik pesakit akan diuruskan oleh jururawat dan paramedik.





#Zara Qairina Mahathir #Janefer Voo #kecederaan berbentuk jalur selari #barcode injuries #inkues