KUCHING: Perdana Menteri mahu penjawat awam untuk mengurangkan kekangan birokrasi dalam memastikan sistem penyampaian kepada rakyat di luar bandar termasuk di Sarawak berjalan lancar.

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Perikatan Nasional memberi fokus untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan cekap dan mesra rakyat.

Tegasnya, langkah itu penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efekttif kepada golongan sasar yang terkesan.

"Sebagai contoh, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mana-mana peraturan yang didapati tidak lagi berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik. Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

"Saya sedar antara cabaran terbesar ialah dalam aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan, bagaimana kita hendak menyampaikan perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan terutamanya kepada orang awam yang berada di pedalaman yang masih terbatas kemudahan seperti infrastruktur asas dan capaian internet," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam di Sarawak.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga komited dalam memacu transformasi digital ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR) hingga menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

Untuk itu, beliau mahu penjawat awam mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam norma baharu supaya lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

"Saya berharap saudara-saudari dapat terus memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk memudahakn urusan masyarakat setempat dalam komuniti masing-masing selaras dengan agenda pemerkasaan sektor awam.

"Penggunaan teknologi secara meluas pasca COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga mahu penjawat awam memperkukuh budaya kerja yang berintegriti semasa menjalan tugas harian.

Kata beliau, dengan cara itu, produktiviti kerja dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan supaya sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) tercapai sekali gus melahirkan sebuah masyarakat sifar rasuah.