Kursi Tun Dr Ismail diwujudkan di UKM - PM Anwar

Bernama
Ogos 2, 2023 11:13 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mewujudkan Kursi Tun Dr Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Allahyarham yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata usaha serta pengiktirafan itu adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Dr Ismail khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.
"Semoga lebih banyak penyelidikan dapat diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan dengan adanya kursi ini," kata beliau.
Kerajaan hari ini menganjurkan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka.
Majlis yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung itu bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan Dr Ismail dalam membangunkan negara ini.
-- BERNAMA
#Tun Dr Ismail #Anwar Ibrahim #Universiti Kebangsaan Malaysia #Kursi